Home Nasional Pendapatan nelayan terjejas sehingga 70 peratus

Pendapatan nelayan terjejas sehingga 70 peratus

MELAKA – Kira-kira 40 nelayan di Pengkalan Nelayan Tanjong Kling, di sini, mendakwa kehilangan hasil sehingga 70 peratus sehari sejak tiga hari lalu yang dipercayai berpunca daripada pencemaran tumpahan minyak diesel kapal kargo di kawasan berkenaan.

Ketua nelayan berkenaan, Aziz Japar, 57, berkata, selain kehilangan pendapatan harian, nelayan juga terpaksa menanggung kerugian ribuan ringgit apabila pukat hanyut yang digunakan rosak akibat terkena pencemaran diesel sejak tiga hari lalu.

“Sebelum ini, saya boleh meraih jualan ikan sekitar RM100 sehari, namun sejak tiga hari lalu tangkapan berkurangan dan hanya dapat sekitar RM30 sahaja berpunca daripada tumpahan minyak di laut.

“Malah, jaring pukat hanyut berharga antara RM1,500 ke RM4,000 yang digunakan nelayan juga cepat rosak apabila terkena diesel,”katanya ketika ditemui di Balai Nelayan Tanjong Kling, di sini, hari ini.

Seorang lagi nelayan, Mustapah Japar, 60, berkata, pencemaran berkenaan juga menyebabkannya terpaksa bergerak lebih jauh mencari hasil laut di kawasan yang tidak dicemari tumpahan minyak.

“Lebih jauh bot bergerak, jadi kos minyak pun meningkat sebab kawasan berhampiran tidak lagi mempunyai ikan tenggiri, parang dan bawal akibat bau minyak diesel yang kuat,” katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Tanjung Kling Khairulazni Baharuddin berkata, Jabatan Alam Sekitar (JAS) perlu sentiasa memantau aktiviti pemunggahan kargo dari kapal-kapal besar di Pelabuhan Tanjung Bruas.

“JAS dan pihak berkuasa berkaitan juga perlu sentiasa memberi peringatan tegas kepada kapal-kapal kargo supaya tidak sewenang-wenangnya membuang sisa minyak kapal di perairan berkenaan yang merosakkan alam sekitar dan menjejaskan pendapatan nelayan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah JAS Melaka ketika dihubungi berkata, siasatan awal di kawasan pengkalan nelayan yang dilakukan semalam menjumpai kesan tompokan-tompakan lapisan nipis atas permukaan air warna pelangi selain terdapat sedikit bau dipercayai minyak diesel.

“Punca minyak tersebut dipercayai datang daripada bot penumpang yang menyediakan perkhidmatan menghantar orang ke kapal di tengah laut yang mana bot berkenaan bernaung di bawah sebuah syarikat berhampiran dengan jeti tersebut.

“Semasa siasatan, tiada kesan tompokan minyak hitam dan lain-lain pencemaran termasuk penemuan bangkai hidupan seperti ikan, ketam, belangkas atau obor-obor, bagaimanapun JAS akan terus melakukan siasatan dari semasa ke semasa,” katanya. – MalaysiaGazette