Pendengaran habeas corpus ibu tiga anak yang mendakwa anak-anaknya telah di Islamkan tanpa kebenaran.

KUALA LUMPUR – Kompleks Mahkamah Jalan Duta, di sini, sesak berikutan pendengaran kes habeas corpus yang difailkan seorang ibu berbangsa Cina yang beragama Hindu, Low Siew Hong terhadap tiga anaknya yang telah diislamkan tanpa kebenaran.

Antara yang kelihatan berada di kawasan kompleks mahkamah itu adalah pemerhati, pertubuhan bukan kerajaan, Jabatan Agama selain petugas media dan penyokong kedua-dua belah pihak.

Selain itu, Ketua Menteri Pulau Pinang II, P. Ramasamy serta beberapa pemimpin DAP turut berada dalam galeri mahkamah yang mana prosidingnya akan didengar Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Collin Lawrence Sequerah.

Bagaimanapun bilangan individu yang dibenarkan dalam mahkamah dihadkan kepada mereka yang mempunyai pas berikutan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

Ketika ini, prosiding belum bermula namun wanita itu dan ketiga-tiga anaknya tidak kelihatan di bilik saksi.

Pada Isnin lalu, Siew Hong, 34, membuat laporan polis bagi meminta tiga anaknya itu diserahkan kepada beliau dengan mendakwa mereka ditahan seorang pendakwah wanita daripada NGO mualaf di Tasek Gelugor, Pulau Pinang.

Beliau mendakwa, Jabatan Agama di Perlis telah menukar status agama bagi tiga orang anaknya tanpa kebenaran beliau.

Siew Hong juga mendakwa anaknya dilarikan ketika dia mendapatkan rawatan selepas dicederakan dan didera bekas suaminya, Nagahswaran Muniandy pada 2019.

Pendengaran habeas corpus ibu tiga anak yang mendakwa anak-anaknya telah di Islamkan tanpa kebenaran.

Nagahswaran yang kini menjalani hukuman penjara akibat kesalahan berkaitan dadah dikatakan menukar agama tiga kanak-kanak itu kepada Islam tanpa kebenarannya.

Bagaimanapun, Mufti Perlis, Datuk Seri Mohd Asri Zainul Abidin mempertahankan akidah tiga orang kanak-kanak itu yang memeluk Islam secara sukarela walaupun masih mumaiyiz.

Media melaporkan Ramasamy meminta polis menyiasat keberadaan tiga kanak-kanak itu.

Ramasamy menyifatkan kes itu seolah mengulangi apa yang berlaku kepada anak-anak Indira Gandhi selepas bercerai dengan suaminya yang memeluk Islam.  – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast