Astro telah menghulurkan bantuan kepada 179 keluarga yang kehilangan rumah akibat kejadian kebakaran di Kampung Landung Ayang, Kudat, Sabah.

KUALA LUMPUR – Astro telah menghulurkan bantuan kepada 179 keluarga yang kehilangan rumah akibat kejadian kebakaran di Kampung Landung Ayang, Kudat, Sabah.

Stesen radio ERA FM, MY FM dan HITZ FM Sabah sertai bersama Astro Kasih bagi membantu keluarga yang terjejas dengan menyumbangkan pek makanan dan barangan keperluan harian.

Ia termasuk susu tepung formula bayi, lampin, makanan dan minuman segera, biskut dan keropok, buah-buahan dan peralatan mandi seperti tuala, syampu, sabun mandi, berus gigi, ubat gigi dan pelbagai lagi.

Pada 16 Februari lalu, lebih 1,600 orang kehilangan tempat tinggal apabila 179 rumah air musnah dalam kejadian kebakaran baru-baru ini di kampung itu.

Malah, keluarga yang terjejas ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Tun Mustapha di Kudat.

Oleh itu, pasukan Astro mengagihkan barangan keperluan dan sumbangan kepada mangsa kebakaran di PPS hari ini dan meluangkan masa menyantuni keluarga yang terjejas.

Astro Radio Sabah juga menggesa syarikat dan orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan untuk menghubungi urusetia Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sabah atau Pegawai Kebajikan Daerah Kudat untuk maklumat lanjut.- MalaysiaGazette