Lim Teong Kim.

KUALA LUMPUR – Bekas Pengarah Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP), Lim Teong Kim menyalahkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Malaysian Football League (MFL) di atas kegagalan skuad B-23 tahun negara melepasi peringkat kumpulan saingan Kejuaraan AFF B-23 di Kemboja semalam.

Teong Kim yang juga bekas ketua jurulatih skuad B-19 tahun Bayern Munich berpendapat, punca kegagalan skuad B-23 tahun negara kali ini adalah kerana FAM dan MFL tidak mengadakan liga yang kompetitif bagi pemain remaja di Malaysia.

“Saya sudah banyak kali berkata, jika FAM dan MFL tidak mengambil tanggungjawab mereka untuk menjalankan liga remaja, jangan harap bola sepak Malaysia akan maju. Pembangunan seseorang pemain mestilah melalui proses pembangunan akar umbi yang sistematik.

“Perkara ini tidak ada di Malaysia tetapi situasi bola sepak kita yang tidak membenarkan pemain remaja kita untuk maju. Jadi kita tidak boleh salahkan mereka. Yang salah ialah FAM dan MFL,” katanya dalam satu komen di media sosial baru-baru ini.

Semalam, skuad kendalian Bra Maloney tewas lagi kepada Laos dengan keputusan 2-0 pada aksi kumpulan B sekaligus tersingkir daripada saingan apabila gagal mengutip sebarang mata selepas mengharungi dua perlawanan.

Teong Kim menambah, FAM daN MFL seharusnya menyediakan landasan untuk pembangunan bola sepak di Malaysia.

Namun katanya, apa yang perlu dilakukan ialah liga remaja, pemain import hanya perlu menggunakan tiga pemain bagi pasukan Liga Super dan Liga Premier dan pasukan pembangunan (feeder team) yang beraksi di Liga Premier tidak boleh ada pemain import.

“Pemain-pemain yang beraksi menentang Laos tidak boleh disalahkan kerana proses pembangunan FAM yang tiada sistem teratur. FAM memerlukan pemimpin yang mempunyai kualiti dalam memimpin, bukan seperti badut,” katanya.

Di Kemboja, Maloney tidak membawa pemain utama dalam skuad kali ini dan memberikan peluang kepada muka baharu untuk beraksi bersama pasukan kebangsaan.

Namun, langkah tersebut dilihat memakan diri apabila pasukan negara gagal untuk memberi saingan kepada Laos dalam dua perlawanan. – MalaysiaGazette