Tindakan seorang anggota trafik yang menerima pujian warganet kerana membantu menutup sisa tumpahan minyak di atas jalan.

KUALA LUMPUR – Tindakan seorang anggota polis trafik menutup tumpahan minyak atas jalan raya menggunakan pasir selepas berlaku kemalangan menerima pujian dari pengguna media sosial.

Video berdurasi 32 saat itu tular di laman Facebook yang memaparkan seorang anggota mengambil pasir di tepi jalan dengan menggunakan tangan bagi menutup sisa tumpahan minyak.

Justeru, rata-rata warganet memuji sikap prihatin yang ditunjukkan oleh anggota berkenaan yang bukan sahaja memastikan kelancaran aliran trafik namun turut mengutamakan keselamatan orang ramai.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, satu kemalangan jalan raya telah berlaku di Lebuh Raya Baru Pantai (NPE) berhapadan Angkasapuri melibatkan tiga buah kenderaan.

Bagaimanapun menurut beliau, tiada sebarang kematian atau kecederaan parah dalam kemalangan yang berlaku itu.

“Akibat kemalangan itu, terdapat tumpahan minyak di atas permukaan jalan dan Sub Inspektor Azman Shah Ishak dari JSPT Kuala Lumpur yang berada di lokasi bertindak segera menutup tumpahan tersebut dengan menggunakan pasir supaya tidak membahayakan pengguna jalan raya yang lain.

“Keprihatinan tindakan itu telah dirakam dan menjadi tular serta mendapat pujian dari segenap masyarakat,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Katanya lagi, JSPT Kuala Lumpur sentiasa prihatin dengan keselamatan pengguna jalan raya dan dinasihatkan supaya sentiasa peka dan berhati-hati semasa memandu. – MalaysiaGazette