Tim Leissner Rohana Rozhan Astro CEO affair lover 1MDB scandal corruption Najib Razak
Tim Leissner. foto Bloomberg

KUALA LUMPUR – Perbicaraan 1MDB membabitkan bekas pegawai Goldman Sachs, Roger Ng yang sedang berlangsung di Mahkamah Persekutuan Amerika Syarikat mendedahkan butiran aliran keluar wang yang diselewengkan daripada syarikat milik Malaysia.

Dalam perbicaraan, saksi utama pendakwaan Tim Leissner mengakui telah menggunakan wang yang diterima daripada 1MDB untuk membeli rumah AS$10 juta (RM41.8 juta) di London untuk kekasihnya ketika itu, Datuk Rohana Rozhan.

Rohana semasa itu adalah Ketua Pegawai Eksekutif Astro Malaysia Holdings Bhd., lapor Bloomberg.

Leissner, bekas Ketua Operasi Asia Tenggara Goldman Sachs, memberitahu pendakwa raya, Drew Rolle bahawa Rozana telah mengancam untuk mendedahkan penglibatannya dengan 1MDB.

“Rohana sangat kecewa kerana saya memutuskan hubungan kami untuk bersama bakal isteri saya, dengan Kimora.

”Jika saya tidak membelikan dia rumah, dia akan memberitahu pihak berkuasa tentang penglibatan saya dalam skandal 1MDB. Dia mengancam untuk mendedahkan saya. Pada masa itu, 2013, saya sangat takut akan perkara itu,” Leissner dipetik sebagai berkata ketika disoal sama ada dia telah memberi Rozana sejumlah wang daripada 1MDB.

Leissner berkahwin dengan personaliti TV AS, Kimora Lee Simmons pada 2013.

Menurut laporan berita Bloomberg, Leissner menjalinkan hubungan romantis dengan Rozana dari 2003 hingga 2013.

“Hampir semua orang di wilayah Asia Tenggara mengetahui tentang kami,” kata Leissner.

Leissner juga dilaporkan memberitahu mahkamah AS bahawa pada satu ketika, dia telah berunding dengan bosnya di Goldman Richard Gnodde, mengenai Rohana.

Gnodde dilaporkan memberitahu Leissner supaya berhati-hati kerana dia terlibat dalam urusan perniagaan dengan Astro.

Walaupun telah dinasihat Gnodde, Leissner berkata, dia masih meneruskan hubungannya dengan Rohana.

Rohana meletak jawatan dari Astro pada 2019.

Leissner dilaporkan sebelum ini memberi keterangan dalam perbicaraan yang bermula pada 14 Februari bahawa dia dan Ng adalah “kawan baik” dan telah bekerjasama untuk menipu bos mereka di Goldman tentang rasuah yang diterima dalam perjanjian 1MDB.

Ng adalah Ketua Perbankan Pelaburan Goldman Sachs di Malaysia dan didakwa bersubahat dengan Leissner untuk melakukan penggubahan wang haram yang melanggar undang-undang anti-rasuah AS.

Sehingga kini, Ng adalah satu-satunya bekas pegawai bank Goldman Sachs yang dibicarakan. – Bloomberg