Najib Razak

KUALA LUMPUR – Jika benar Bank Negara Malaysia (BNM) telah memberikan maklumat kepada agensi penguatkuasaan undang-undang berhubung dakwaan suami bekas gabenor menerima dana sehingga RM700 juta dari Jho Low, bermakna Kerajaan Pakatan Harapan dan Perikatan Nasional sudah lama mempunyai maklumat itu.

Sehubungan itu, Datuk Seri Najib Razak mempersoalkan kenapa pihak pendakwa raya tidak pernah menyalurkan maklumat ini kepada barisan peguamnya bagi membolehkan beliau membela diri.

”Sekiranya benar apa BNM memaklumkan hari ini, ini bermaksud kerajaan PH dan PN sudah lama mempunyai maklumat berhubung bekas gabenor ini yang juga merupakan antara saksi-saksi penting dan memainkan peranan yang amat penting dalam kes-kes mahkamah SRC dan 1MDB saya,” katanya dalam kenyataan di sini.

Jadi, kenapa pula pihak pendakwa raya tidak pernah menyalurkan matlumat ini kepada barisan peguam pertahanan saya untuk saya bela diri?

Malah, katanya, pendakwa raya memaklumkan mereka tiada matlumat berhubung bekas gabenor dan seorang lagi bekas menteri yang disyaki telah menerima dana 1MDB sebanyak RM85 juta yang disorok di Singapura semasa peguam-peguam menyoal mereka di mahkamah.

”Dan jika kenyataan BNM adalah benar, kenapa pula Kerajaan PH dan PN tetap melantik bekas gabenor tersebut sebagai ahli majlis orang tua-tua serta pengerusi PNB yang menjaga dana sebanyak RM360 bilion?,” soal beliau lagi.

Mengulas laporan mengenai maklumat yang diterima daripada unit perisikan kewangan (FIU) asing yang berkaitan dengan akaun milik suami bekas gabenor berkata, BNM berkata, pihaknya telah memberikan maklumat kepada agensi penguatkuasaan undang-undang yang berkaitan pada bulan April 2016.

Tindakan itu selaras dengan tanggungjawab BNM di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast