KUALA LUMPUR – Seorang lelaki maut selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dipandunya terbabas sebelum terbalik dan terbakar dalam kejadian di Kilometer 428 Lebuh Raya Utara Selatan (arah Selatan) berhampiran Tol Bukit Beruntung, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Arsad Kamaruddin berkata, kemalangan itu melibatkan seorang lelaki warga tempatan berusia 46 tahun yang memandu kereta Toyota Estima dari Teluk Intan, Perak menuju ke ibu negara.

“Setibanya di lokasi kejadian, kereta dipandu mangsa telah hilang kawalan dan terbabas sendiri sebelum melanggar besi pembahagi jalan di susur lebuh raya.

“Impak daripada kemalangan, Toyota Estima itu terbalik dan terbakar manakala mangsa tersepit di dalam kenderaan dan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kemalangan tersebut untuk menyalurkannya kepada pihak polis bagi tindakan selanjutnya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MalaysiaGazette