Presiden MUDA Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (tengah) bersama dua calon baharu dari DUN N26 Machap MUDA R. Sangaran (kanan) dan DUN N.44 Larkin Rasid Abu Bakar (kiri) bergambar pada Majlis Pengumuman Calon MUDA sempena Pilihan Raya Negeri Johor di Taman Eco Cascadia. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 24 FEBRUARI 2022.

JOHOR BAHRU – Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) membuat kejutan apabila mengumumkan akan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Larkin pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, sekali gus ‘bertembung’ dengan PKR.

Presidennya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, calon DUN itu adalah Rasid Abu Bakar manakala dua lagi calon merupakan R Sangaran yang akan bertanding di Dewan Undangan Negeri DUN Machap dan Fikri Musa di DUN Parit Raja.

Jelas beliau, jumlah terbaharu itu menyaksikan setakat ini parti tersebut sudah mengumumkan tujuh calon yang akan bersaing dalam PRN yang bakal berlangsung pada 12 Mac ini.

“Kita beri tempoh runding hingga minit-minit terakhir dan semua sudah makluman, sudah tandatangani bersama PKR dan DAP di mana tiada pertindihan kerusi.

“Kita telah mengadakan sesi rundingan dengan rakan dalam PKR dan mereka telah mengumumkan 20 calonnya dan pada masa sama telah berniat bertanding ke semua kerusi itu sejak Isnin minggu lepas.

“MUDA masih cuba untuk berunding menggunakan saluran-saluran sedia ada dan akhirnya kita akan biar rakyat tentukan nasib MUDA di Johor,” katanya.

Beliau berkata demikian sidang media pengumuman tiga calon itu di sini hari ini.

Sebelum ini, MUDA diperuntukkan enam kerusi, hasil rundingan bersama antara parti itu, Parti Amanah Negara (Amanah) dan DAP Johor.

Sementara itu, Syed Saddiq berkata, Sangaran merupakan Timbalan Pengerusi MUDA Johor manakala Rasid adalah Ketua Penerangan MUDA Johor dan Fikri pula ialah Setiausaha Jawatankuasa MUDA Johor.

“Pencalonan ketiga-tiga belia itu adalah selaras dengan usaha parti untuk menampilkan pimpinan yang muda, aktif di dalam politik khidmat.

“Kita juga mahu pastikan MUDA sentiasa fokus dalam merangka dasar yang adil dan saksama untuk Johor.

“Justeri, MUDA berharap rakyat Johor akan memilih calon-calon yang berbilang bangsa dan tidak memfokus satu bangsa sahaja,” katanya.

Sebelum ini, MUDA mengumumkan empat calonnya yang akan bertanding pada PRN Johor dengan memperkenalkan Lim Wei Jit yang juga ahli jawatankuasa Pusat MUDA bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang.

Bagi kerusi DUN Bukit Kepong, Nurafiqah M.Zulkifli yang juga Ahli Jawatankuasa Pusat MUDA dan Azrul Rahani, 41 yang juga Pengerusi MUDA Johor pula dipilih sebagai calon bagi kerusi DUN N50 Bukit Permai manakala Setiausaha Agungnya, Amira Aisya Abd Aziz  bertanding di DUN Puteri Wangsa. – MalaysiaGazette