Datuk Kamarudin Md Din. Foto FAREEZ FADZIL, 10 FEBRUARI 2022.

KUALA LUMPUR – Polis menerima sebanyak 19 laporan berkaitan penipuan skim pelaburan saham keutamaan syarikat milik individu bergelar Datuk Seri dengan jumlah kerugian mencecah RM3 juta.

Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman, Datuk Mohd Kamarudin Md Din, pihaknya telah mengenal pasti suspek utama bersama suspek lain yang terlibat dan sedang meneruskan usaha untuk mengesan dan menangkap mereka.

“Berdasarkan siasatan, skim pelaburan ini menawarkan pembelian saham syarikat yang didakwa patuh syariah.

“Pelabur dijanjikan faedah sebanyak empat peratus setiap bulan dan wang pelaburan pokok akan dipulangkan setelah kontrak pelaburan tamat.

“Bagaimanapun, faedah berkenaan hanya dibayar pada peringkat awal pelaburan sebelum pihak syarikat menghilangkan diri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan orang ramai untuk memberikan perhatian dan melaksanakan semakan yang lebih terperinci sebelum menyertai mana-mana skim pelaburan terutama yang menjanjikan keuntungan terlalu lumayan.

Tambahnya lagi, orang ramai perlu mendapatkan maklumat lanjut dari sumber-sumber rasmi seperti menyemak ‘mule’, ‘alert list’ Bank Negara Malaysia, Suruhanjaya Sekuriti dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna sebelum membuat keputusan untuk menyertai apa-apa skim pelaburan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, Berita Harian melaporkan lebih 400 individu didakwa kerugian RM54 juta akibat ditipu skim pembelian saham keutamaan syarikat pasangan bergelar Datuk Seri dan Datin Seri yang juga bekas kakitangan sebuah syarikat penyiaran swasta. – MalaysiaGazette