ALOR GAJAH – Seorang pelajar tahfiz berusia 15 tahun maut selepas motosikal ditunggangi hilang kawalan sebelum terbabas ke dalam longkang di Kilometer 197.5 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.40 malam itu, mangsa Muhammad Ashraf Abdullah, 15, beralamat di Nilai, Negeri Sembilan disahkan meninggal dunia di Hospital Melaka selepas empat jam menerima rawatan akibat kecederaan di perut.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, ketika kejadian mangsa yang tinggal di asrama dalam perjalanan pulang ke rumah keluarganya di Nilai menggunakan motosikal milik ustaz di pusat tahfiznya belajar di Jasin.

“Siasatan awal mendapati, sebaik tiba ditempat kejadian, motosikal ditunggangi mangsa hilang kawalan sebelum terbabas masuk ke dalam longkang di bahu jalan.

Muhammad Ashraf Abdullah

“Terdapat kesan serpihan komponen kenderaan serta kesan geseran di dalam longkang dan ketika kejadian, cuaca baik namun keadaan gelap kerana tiada lampu jalan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MalaysiaGazette