Zahari Sarip

SEGAMAT – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Buluh Kasap meminta pengundi memberi ruang kepadanya untuk menyambung khidmat kepada penduduk di kawasan kelahirannya.

Datuk Zahari Sarip, 55, yang berkhidmat sebagai ADUN di situ sebelum ini berkata, khidmatnya kepada rakyat terganggu semasa Pakatan Harapan mentadbir Johor selama 22 bulan.

Katanya, beliau mempunyai pelbagai agenda pembangunan untuk rakyat di daerah itu.

“Beri saya peluang untuk menyambung khidmat di Buluh Kasap memandangkan semasa tempoh saya menjadi pembangkang tidak banyak yang boleh dilakukan.

“Sepanjang pentadbiran pembangkang, saya telah menggunakan sebahagian elaun saya untuk disumbangkan kepada rakyat yang memerlukan,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette.

Elaun itu digunakan antara lain bagi membantu pesakit kritikal dan bantuan yuran pengajian.

“Biar pun rakyat dibantu namun hanya dalam skala kecil kerana tidak mempunyai peruntukan, namun saya tetap mencari insiatif sendiri untuk membantu rakyat,” katanya.

Zahari berharap dapat terus memenangi hati rakyat bagi terus membantu masyarakat di sini untuk penggal kedua.

Dalam perkembangan lain, Zahari menyifatkan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sebagai ujian kepada rakyat menyatakan kesetiaan kepada pimpinan Menteri Besar Johor.

“Pilihan raya pada kali ini adalah menguji sokongan dan kesetiaan kepada Datuk Hasni.

“Dan keduanya memberi ruang dan peluang kepada rakyat untuk memilih parti bagi memimpin negeri Johor. – MalaysiaGazette