Calon Perikatan Nasional (PN) N.07 Bukit Kepong, Datuk Dr. Sahruddin Jamal bercakap kepada media selepas hari penamaan sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di IKTBN Pagoh, Muar, Johor. Foto HAZROL ZAINAL, 26 FEBRUARI 2022.

PAGOH – Tindakan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin  tidak mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gambir pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor tidak merugikan gabungan itu secara keseluruhan.

Bagi Setiausaha Badan Perhubungan PN Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal, ketiadaan Muhyiddin di DUN Gambir membolehkan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk fokus di semua 56 kerusi yang ditandingi oleh PN ketika ini.

“Sebetulnya, itu salah satu strategi kita dan tidak mahu pihak lawan fokus kepada satu individu sahaha. Bila kita tidak mencalonkan Muhyiddin beliau dapat bergerak di setiap DUN yang kita bertanding tapi beliau perlu fokus kepada sesuatu DUN.

Sebab itu pemimpin utama PN, mereka akan bergerak di seluruh negeri Johor dan tidak ada isu Muhyiddin bertanding atau tidak,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Beliau yang juga calon PN bagi DUN Bukit Kepong itu berkata demikian menjawab pertanyaan mengenai punca utama Muhyiddin tidak mempertahankan kerusi DUN Gambir.

Muhyiddin pada 25 Januari lalu mengumukan dirinya tidak akan bertanding bagi mempertahankan kerusi DUN Gambir yang disandangnya sebelum ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pagoh menjelaskan keputusan itu dibuat bagi membolehkan lebih ramai calon muka baharu ditampilkan dalam PRN berkenaan.

Khamis lalu, Muhyiddin mengumumkan senarai 56 calon bagi menghadapi PRN Johor termasuk Ketua Penerangan PN Johor, Mohd Solihan Badri bagi menggantikan beliau di DUN Gambir.

Untuk rekod, pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14, Muhyiddin menang di DUN Gambir selepas memperoleh majoriti 3,088 undi mengalahkan calon Barisan Nasional (BN), Datuk M. Asojan serta calon Pas, Datuk Dr Mahfodz Mohamed.

Dalam perkembangan berkaitan, Sahruddin menasihatkan pengundi-pengundi Johor untuk bijak memilih pemimpin bagi memimpin kerajaan negeri yang akan dibentuk selepas 12 Mac depan.

Ujarnya, beliau percaya rakyat Johor pandai membuat pilihan dengan memilih kerajaan yang kukuh dan stabil demi masa depan negeri Johor.

“Bangsa Johor hebat ilmu agamanya jadi saya pasti mereka pandai menilai parti mana yang hebat dan saya harap pengundi sokong PN untuk memastikan kestabilan, ekonomi dan politik dapat kita kukuhkan.

“PN akan memastikan kita menang sebanyak kerusi di Johor dan berusaha semampu kita untuk menang banyak kerusi,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. sindiran tajam dan MESEJ tersirat/// TMJ jika JDT KALAH akan letak jawatan selamanya….bermaksud jika ada pemimpin2 masih terlibat RASUAH dan SALAHGUNA KUASA sila letak jawatan begitu juga rakyat kena celik mata dan hati boleh BEZAKAN mana KACA dan PERMATA

Comments are closed.