KUALA LUMPUR – Peralihan Malaysia menuju ke fasa endemik COVID-19 perlu dilaksanakan secara berhati-hati, titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Seri Paduka bertitah, Malaysia berada di kedudukan ke-13 dari 122 negara dalam indeks pemulihan COVID-19 Nikkei Asia dan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan telah berjaya mencapai liputan vaksinasi lengkap sehingga 98 peratus populasi dewasa.
Titah Seri Paduka sebagai langkah pertahanan menghadapai penularan varian baharu, rakyat diseru mendapatkan dos penggalak vaksin COVID-19.
“Bagi memastikan imuniti kekal pada tahap optimum dan sebagai benteng dalam menghadapi varian baharu, beta menyeru agar rakyat beta untuk mendapatkan dos penggalak menerusi program yang sedang dilaksanakan kerajaan.
“Walaupun negara kini semakin bersedia untuk beralih ke fasa endemik, beta berharap agar peralihan ini dilaksanakan secara berhati-hati,” titah Seri Paduka pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen ke-14, di Dewan Rakyat hari ini. – Bernama