Rosmin Hashim.

KUALA LUMPUR – Public Performance Malaysia (PPM) Sdn. Bhd. memberitahu dokumennya yang diambil oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah dikembalikan selepas syarikat itu membantu siasatan berhubung dakwaan penyalahgunaan dana hasil kutipan royalti hak cipta lagu yang diterima penggiat industri muzik di Malaysia.

Pengerusi PPM, Rosmin Hashim berkata, SPRM sudah memulangkan segala dokumen kepada PPM pada 17 Disember tahun lalu tanpa sebarang tindakan lanjut.

“Sebagai Badan Pelesenan yang profesional, telus dan bertanggungjawab, PPM akan sentiasa memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa dalam apa jua perkara yang memerlukan perhatian mereka.

Menurut Rosmin, PPM ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada SPRM kerana sudah menjalankan tugas dengan penuh integriti dan profesional.

“Lembaga pengarah PPM ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pegawai SPRM yang terbabit kerana berhemah dan profesional semasa menjalankan siasatan.

“Dengan pengembalian dokumen berkaitan, kami percaya isu ini berakhir dan kami boleh bergerak ke hadapan untuk terus mewakili kepentingan ahli kami secara terbaik” katanya.

Terdahulu Rosmin memaklumkan SPRM menjalankan siasatan terhadap PPM walaupun tiada sebarang aduan dibuat oleh ahli mereka.

Menurutnya, SPRM meminta beberapa dokumen untuk siasatan serta pelbagai kenyataan lisan dirakamkan oleh pegawai SPRM.

Sebelum ini, Presiden Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan), Freddie Fernandez dilaporkan meminta campur tangan SPRM dalam pertikaian mengenai royalti RM30 juta yang belum dibayar kepada artis rakaman.

Beliau kecewa dengan mendakwa kemungkinan beberapa ‘tangan tersembunyi’ memanipulasi kutipan royalti untuk keuntungan sendiri. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast