Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin bercakap kepada media selepas mengadakan lawatan pada hari pertama peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Tahun 2021 di SMK Kota Masai, Pasir Gudang, Johor. Foto AFFAN FAUZI, 02 MAC 2022.

JOHOR BAHRU – Calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 yang disahkan positif COVID-19 atau dalam tempoh kuarantin akan dibenarkan menduduki peperiksaan itu pada sidang ke dua April ini.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd  Radzi Md Jidin berkata, calon yang terlibat tidak perlu bimbang sebaliknya mereka hanya perlu maklumkan kepada pihak sekolah bahawa mereka positif Covid-19.

“Perkara ini harus jelas. Sekiranya murid ini didapati positif maka mereka perlu buat surat deklarasi kepada pengetua atau pihak sekolah dengan menulis surat bahawa mereka positif Covid-19.

“Pengetua akan sahkan sama ada benar atau tidak murid itu positif Covid-19,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan mengejut di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota Masai (2) pada peperiksaan pertama Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Kota Masai pagi tadi.

“Jadi calon tidak perlu risau kalau mereka ada bukti,  mereka boleh menduduki sidang ke dua April nanti,” katanya.

Radzi Jidin semasa mengadakan lawatan pada hari pertama peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Tahun 2021 di SMK Kota Masai, Pasir Gudang, Johor. Foto AFFAN FAUZI, 02 MAC 2022.

Sementara itu, bagi calon yang baharu mengetahui mereka positif Covid-19 ketika berada di kawasan sekolah, calon terlibat akan diletakkan dalam bilik khas yang disediakan di sekolah berkenaan.

“Begitu juga bagi calon SPM yang menjadi kontak rapat, mereka perlu dikuarantin dan tidak perlu hadir ke tempat peperiksaan.

Bagaimanapun calon berkenaan perlu mengemukakan pengesahan  daripada Kementerian Kesihatan (KKM).

”Syaratnya sama seperti mereka yang positif, perlu menunjukkan bukti atau menulis surat kepada pengetua atau pihak sekolah,” tambah beliau.

Radzi berkata, seramai 407,097 calon SPM seluruh negara menduduki peperiksaan SPM hari ini termasuk 50,317 calon di Johor. – MalaysiaGazette