Reezal meninjau persekitaran di Arena Niaga Parit Yaani semasa lawatan kerjanya di sini, hari ini.

BATU PAHAT – Barisan Nasional (BN) mengalu-alukan cadangan supaya tempoh masa berceramah dalam kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang sedang berlangsung ketika ini dilanjutkan.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican bagaimanapun berkata, keputusan melanjutkan tempoh berceramah sehingga pukul 12 malam tertakluk kepada bidang kuasa pihak polis dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Saya mengalu-alukan kalau perkara itu dilihat dan dinilai oleh pihak berkuasa jika perkara berkenaan wajar dan ketika ini saya tidak boleh mendahului hal terbabit.

“Kalau pihak kerajaan kata atau pihak berkuasa boleh buat sehingga jam 12 malam, saya lebih suka,” katanya ketika ditemui selepas melakukan lawatan kerja ke Arena Niaga Parit Yaani, di sini hari ini.

Beliau yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata, keputusan kerajaan mengehadkan masa berceramah sehingga pukul 10 malam bertujuan meminimumkan penularan Covid-19 dan semua pihak perlu akur.

Katanya, Malaysia adalah negara yang berdaulat, berpelembagaan dan mengamalkan undang-undang, jadi, ianya perlu dipatuhi oleh semua pihak.

Semalam Presiden Amanah, Mohamad Sabu mendakwa, beliau bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Lim Guan Eng telah bertemu Perdana Menteri, Datuk Seri  Ismail Sabri Yaakob di Parlimen semalam.

Dalam pertemuan itu, dakwa Mohamad Sabu, Perdana Menteri bersetuju ceramah dilanjutkan ke jam 12 tengah malam dan akan membawa perkara tersebut dalam mesyuarat Kabinet Jumaat ini.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Ceramah Mega Pakatan Harapan di Skudai.

“Dalam pertemuan pada jam 2 petang di Parlimen itu, kami berjumpa Perdana Menteri sambil Guan Eng menyuarakan hasrat supaya ceramah dilonggar sedikit prosedur operasi standard (SOP) apabila dibuat di tempat terbuka.

“Saya nyatakan kepada Perdana Menteri kenapa sampai 10 malam sahaja, biarlah sampai 11 malam, namun Perdana Menteri menyatakan, jika ikut beliau, biar sampai 12 tengah malam,” katanya. – MalaysiaGazette