repatriation mission malaysians New Delhi Mumbai India Covid-19
Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Kerajaan Malaysia menolak sepenuhnya tuntutan pampasan berjumlah US$14.92 bilion (RM62.6 bilion) yang diputuskan menerusi prosiding timbang tara di Paris kepada pihak yang mendakwa sebagai keturunan Sultan Sulu terakhir, Sultan Jamalul Kiram II .

Menurut kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh Kementerian Luar dan Jabatan Peguam Negara pada Rabu, kerajaan Malaysia tidak mengambil bahagian dalam prosiding timbang tara yang dikatakan membawa kepada anugerah pampasan itu.

Tambahan pula, hal perkara dalam tuntutan itu bukan bersifat komersil dan tidak boleh dibawa ke prosiding timbang tara.

Selain itu, tuntutan berkenaan yang berdasarkan kepada Perjanjian 1878 antara Sultan Sulu ketika itu Sultan Mohamet Jamal Al Alam dengan Baron de Overbeck dan Alfred Dent juga tidak mengandungi apa-apa peruntukan timbang tara.

Kenyataan itu berkata di bawah Perjanjian 1878, Sultan memberi dan menyerahkan selama-lamanya hak kedaulatan ke atas wilayah tertentu yang terletak di Borneo Utara, yang kini menjadi sebahagian daripada Sabah, di Malaysia.

“Kerajaan Malaysia selanjutnya menegaskan bahawa identiti pihak yang menuntut adalah diragui dan masih belum disahkan,” kata kenyataan itu.

Menurut laporan media, mahkamah timbang tara Perancis pada Isnin memutuskan bahawa Malaysia telah melanggar perjanjian yang ditandatangani pada 1878 dan memerintahkan membayar pampasan sekurang-kurangnya US$14.92 bilion (RM62.6 bilion) kepada pewaris Sultan Sulu terakhir.

Anugerah pampasan itu dikeluarkan oleh penimbang tara Sepanyol Gonzalo Stampa pada 28 Feb 2022. Proses timbang tara bermula di Sepanyol, kemudian berpindah ke Paris tempat pampasan itu diputuskan.

Pada 29 Jun 2021, berdasarkan permohonan kerajaan Malaysia, Keputusan Pembatalan dikeluarkan apabila Mahkamah Tinggi Madrid memutuskan bahawa penyampaian notis prosiding bagi pelantikan penimbang tara bagi tujuan tuntutan tidak diserahkan dengan sewajarnya kepada Malaysia selaras dengan peraturan antarabangsa dan undang-undang Sepanyol sedia ada.

Kenyataan itu menyebut, akibat daripada Keputusan Pembatalan itu, Stampa bukan lagi seorang penimbang tara dalam prosiding timbang tara itu dan oleh yang demikian semua keputusannya, termasuk anugerah pampasan itu, adalah tidak sah dan terbatal.

Pihak yang menuntut, dalam cubaan untuk memintas Keputusan Pembatalan itu, tanpa pengetahuan Kerajaan Malaysia, telah memperoleh perintah ex parte dari Tribunal de Grande Instance di Paris, Perancis (“Perintah Exequatur”) untuk mengiktiraf Partial Award on Jurisdiction yang dikeluarkan oleh Stampa pada 25 Mei 2020 (yang terbatal akibat Keputusan Pembatalan itu).

“Berdasarkan Perintah Exequatur, Stampa telah menukar tempat timbang tara ke Paris, Perancis untuk memutuskan pampasan itu,” kata kenyataan itu.

Kerajaan Malaysia akan terus mengambil semua langkah yang sewajarnya termasuk tindakan perundangan untuk menamatkan tuntutan itu dan memastikan agar kepentingan, kekebalan kedaulatan dan kedaulatan Malaysia sentiasa dilindungi dan terpelihara pada setiap masa.

— BERNAMA

1 Komen

  1. Baka Sulu kena ada significant majority di Sabah maka barulah Sabah bisa ditendang keluar free kepada Sultan Sulu seperti Singapore bisa ditendang keluar free je kepada significant majority baka pekerja warga asing timah dan getah yang menguntungkan ekonomi penjajah Inggeris atas konsep demokrasi dan perpaduan pelbagai bangsa konon.

Comments are closed.