Tun Dr Mahathir Mohamad Parti Pejuang Tanah Air
Tun Dr Mahathir Mohamad

AYER HITAM  – Tun Dr Mahathir Mohamad buat kali pertama hadir ke Johor bagi kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) terus meratib nama Datuk Seri Najib Razak berkali-kali ketika berucap di Felda Ayer hari ini.

Bekas perdana menteri itu ketika berucap di hadapan kira-kira 100 orang yang hadir program Aspirasi Johor parti Pejuang masih mengaitkan Najib dengan dakwaan penyelewengan dana wang 1Malaysia Developemnt Berhad (1MDB) bernilai RM2.3 bilion.

Kata Mahathir, beliau tidak menyangka Najib yang sudah dijatuhkan hukuman penjara dan denda masih lagi bebas ke sana sini berkempen tanpa apa-apa perasaan malu.

“Orang biasa yang tidak pakai pelitup muka terus didenda RM1,000 tapi yang Najib setelah dihukum oleh mahkamah masih lagi bebas berbuat apa sahaja, ini kerana kerajaan hari ini bersekongkol dengannya.

“Itu juga mengapa apabila PRN ini diadakan, rakyat di negeri sudah mempunyai peluang untuk tukar kerajaan yang ada hari ini, walaupun Najib tidak bertanding namun ramai pemimpin dalam parti Najib bertanding.

“Rakyat di Johor perlu gantikan dengan kerajaan Pejuang yang mampu bangunkan negara ini kembali. Pemimpin dalam parti Pejuang ini satu ketika pernah memimpin negara dan mengharumkan negara malah dunia mengenali kita dengan nama ASEAN Tigers. Kita majukan negara,” ucapnya di Felda Ayer Hitam di sini hari ini.

Mahathir hadir Majlis Aspirasi Johor anjuran Pejuang di Felda Ayer Hitam hari ini.

Mahathir yang merupakan Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) sepatutnya berehat selepas rawatan di Institut Jantung Negara (IJN) sejak Januari lepas namun hadir memberikan sokongan kepada calon-calon partinya bertanding di PRN Johor kali ini.

Ketika memulakan ucapan beliau hari ini, kata Mahathir beliau tidak sangka akan masih boleh berucap di hadapan pemimpin, penyokong parti dan pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap hari ini.

“Saya tidak sangka akan masih berperanan dalam politik ketika ini kerana keadaan kesihatan saya. Namun saya bersyukur.

“Saya ingin beritahu anda semua rakyat Johor, Dewan ini telah terbubar dengan sendirinya sebelum ajal tiba. Ini kerana rakyat tidak berpuas hati dengan kerajaan hari dan rakyat di negeri ini telah di pilih untuk memilih kerajaan mereka sekali lagi,” ujarnya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast