Calon dari parti PEJUANG DUN N.38 Penawar, Rahmatullah Kamilin menunjukkan risalah kempen calon untuk diedarkan kepada penduduk sekitar Penawar ketika mengadakan walkabout sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di Bandar Penawar, Johor. Foto AMIRUL SHAUFIQ 27 FEBRUARI 2022.

DESARU – Bertanding atas tiket Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bukan kerana tidak mengenang budi dan jasa ‘Bapa Pembangunan Negara’, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein.

Malah, calon Pejuang N38 Penawar, Rahmattullah Kamilin tidak pernah melupakan pengorbanan bekas Perdana Menteri kedua itu yang membela nasib orang Melayu kerana beliau sendiri membesar dalam komuniti Felda.

Bagaimanapun bekas pegawai Tentera Laut DiRaja Malaysia (TLDM) itu terpanggil untuk menyertai dan bertanding atas tiket Pejuang dek kerana perjuangan pemimpin asal UMNO sudah jauh terpesong ketika ini.

“Sebenarnya saya anak generasi kedua Felda, bukan saya tidak mengenang budi UMNO…saya kenang budi UMNO…saya kenang jasa Tun Razak yang mewujudkan Felda, yang mengasaskan tanah rancangan ini.

“UMNO yang dahulu bukanlah UMNO yang sekarang, kita kena periksa apakah realiti semasa sebenarnya.

“Adakah UMNO dahulu sama dengan UMNO sekarang, apakah nilai dahulu yang dipegang oleh pejuang-pejuang terdahulu masih lagi dipegang oleh pejuang-pejuang UMNO sekarang.

“Saya fikir perkara ini menjadi faktor penolak kepada anak-anak muda daripada menyokong parti keramat orang Melayu,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette, baru-baru ini.

Rahmattullah mengakui biar pun beliau bukan daripada keluarga ahli politik, namun ia tidak menghalangnya untuk bersama Tun Dr Mahathir Mohamad yang dikaguminya biarpun beberapa kali keluar masuk pelbagai parti sebelum ini.

“Susur galur saya memang bukan orang politik dan saya sendiri sebenarnya tidak pernah terfikir nak masuk politik.

“Tapi memikirkan suasana politik kita perlu diubah, sudah tiba masanya orang baharu, muka baharu untuk tampil ke hadapan.

“Kita sedar hari ini bila sebut ahli politik, orang kata menyampah, tidak boleh dipercayai, tidak berpendirian, majoriti begitu, berpandangan begitu,” katanya.

Meskipun terpaksa mengakui perlu berdepan pelbagai risiko termasuk hilang kawan dan saudara, namun Rahmattullah sanggup menanggung sebarang kemungkinan semata-mata untuk memulihkan negara.

“Jadi untuk masuk ke dunia politik sebenarnya satu pengorbanan, kita akan hilang kawan, kita akan hilang orang-orang di sekeliling kita.

“Tetapi jauh yang lebih penting niat, niat kita betul Insya-Allah saya yakin Allah akan sentiasa jaga kita demi Malaysia yang lebih baik, negeri dan negara,” katanya lagi. – MalaysiaGazette