isham jalil
Isham Jalil

KUALA LUMPUR – Akar umbi UMNO mahu Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan sebelum pemilihan parti tahun ini, kata Ketua Penerangan Barisan Nasional (BN) Selangor, Isham Jalil.

Beliau berkata, mereka tidak mahu PRU itu ditangguhkan sehingga tahun depan.

“Keputusan ini telah dibuat oleh majoriti bahagian-bahagian UMNO di seluruh negara yang telah bermesyuarat baru-baru ini.

“Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pun telah menegaskan hal ini.

“Ini kerana selagi pilihan raya tidak dibuat, selagi itu politik tidak stabil dan keadaan ekonomi tidak menentu,” katanya menerusi hantaran facebooknya, hari ini.

Isham menegaskan, mandat perlu dikembalikan kepada rakyat secepat mungkin untuk mengembalikan kestabilan.

Dengan kestabilan itu, katanya, membolehkan dasar-dasar kerajaan bermandat dapat dibuat untuk pemulihan segera negara dan rakyat tanpa gangguan serta ugutan politik oleh pihak tertentu.

Kata beliau, yang mahu tangguh pilihan raya itu adalah ahli politik seperti Tan Sri Muhyiddin Yassin, Perikatan Nasional (PN), Pakatan Harapan (PH) dan rakan mereka dari bekas PH yang telah menipu manifesto.

“Ini termasuk pengkhianat bekas BN yang telah melompat parti, yang kini takut untuk berhadapan dengan rakyat.

“Mereka takut kalah dan ingin berpegang kepada jawatan selama boleh, walaupun rata-rata rakyat sedang sengsara. Kita tidak boleh tunggu ahli-ahli politik ini,” katanya.

Beliau berkata, kepentingan negara lebih penting dari kepentingan peribadi dan diri sendiri segelintir ahli-ahli politik berkenaan. – MalaysiaGazette