M. Saravanan

KUALA LUMPUR – Penubuhan Pusat Penempatan Pekerjaan atau National Placement Centre (NPC) bertujuan menyokong usaha kerajaan untuk mewujudkan 600,000 peluang pekerjaan bagi rakyat Malaysia seperti yang diumumkan dalam Bajet 2022.

Sehubungan itu, NPS ini akan ditubuhkan secara berperingkat di setiap negeri di Malaysia yang mana pusat ini akan dikendalikan oleh Kementerian Sumber Manusia.

Menerusi penubuhan NPC ini, syarikat-syarikat yang ingin menawarkan peluang pekerjaan boleh menggunakan pusat sehenti ini untuk bertemu dengan pencari kerja, menyediakan program latihan kemahiran dan pembangunan kemahiran serta
menawarkan penempatan pelatih atau latihan praktikal.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan berkata, NPC ini juga akan menyediakan kemudahan berkaitan dengan proses pengambilan pekerja yang akan memudahkan majikan serta rakyat Malaysia antaranya bertemu dengan kaunselor kerjaya untuk mendapatkan penilaian kerjaya, maklumat lanjut untuk mencorak laluan kerjaya serta kursus pembangunan kemahiran yang boleh disertai untuk mereka kekal berpengetahuan dan berkemahiran.

Selain itu, individu yang melawat pusat ini juga boleh membuat pendaftaran di portal MYFutureJobs untuk mendapatkan akses yang lebih luas kepada peluang pekerjaan di seluruh negara.

Tambahnya, menerusi portal ini, individu boleh mencari dan memohon pekerjaan yang sesuai dengan pengalaman, minat dan kelayakan mereka menerusi bimbingan wakil sokongan di pusat tersebut.

”Dengan adanya pusat sokongan menyeluruh secara fizikal dan atas talian di pelbagai negeri seperti NPC ini, saya percaya bahawa rakyat Malaysia dari pelbagai latar belakang dan kebolehan akan mendapat peluang yang terbaik mendapatkan pekerjaan
yang bersesuaian,” ujarnya.

Menurut Saravanan, KSM komited untuk memastikan usaha kerajaan ini berjalan lancar dan seterusnya mempercepatkan pemulihan ekonomi Malaysia tahun ini.

Ini kerana agenda pembangunan bakat, penciptaan pekerjaan dan kelangsungan serta peningkatan taraf
hidup rakyat menjadi keutamaan kementerian ini, ujar beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast