Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri

KUALA LUMPUR – Manifesto yang diumumkan Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) baru-baru ini, seolah-olah mengumumkan kembali manifesto bukan kitab suci yang pernah dicanangkan parti itu pada PRU14 yang lalu.

Kali ini, dalam manifesto bukan kitab suci 2.0 itu, mereka menjanjikan bulan dan bintang tanpa mempunyai sedikit pun idea baharu dan halatuju, melainkan banyak dengan plagiatrisme, tiada perincian dan tidak masuk akal.

Pengarah Komunikasi Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri memberi contoh, kuota khas anak Johor di IPTA yang dicanang PN itu sebenarnya di bawah bidang kuasa kerajaan Persekutuan, bukan kerajaan negeri.

Katanya, kerajaan negeri mungkin boleh memohon, tetapi PN tidak boleh memaksa kerajaan Persekutuan untuk memenuhi kehendaknya.

“Jadi, janji ini tidak masuk akal, mengarut dan sekadar mahu memancing anak muda Johor semata-mata.

“Kita lihat manifesto PN mahupun PH memiliki kelompongan besar. Perkara asas seperti kestabilan langsung tidak disentuh, isu katak politik pula bercanggah dengan konsep integriti yang tidak dipedulikan.

“Konon PN dan PH mahu 30 peratus wanita dalam pentadbiran, tetapi hanya calonkan 10.7 peratus sahaja dalam PRN Johor,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Begitu juga, kata beliau, projek HSR yang dahulu dibatalkan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan membayar RM320 juta ganti rugi kepada Singapura.

Tetapi, katanya, tiba-tiba dalam PRN Johor, mereka canang kepada rakyat, mahu meneruskan projek itu.

Lebih melucukan, kata Syed Mohd Johan Rizal, selain PN, parti Muda sekali lagi berjanji kononnya mahu menawarkan peluang pekerjaan bergaji tinggi.

Kata beliau, tanpa penjelasan, janji itu tidak ubah seperti PH yang sebelum ini mahu memansuhkan PTPTN dan menghapuskan Tol Simpang Renggam.

“Mungkin parti Muda fikir menjaja janji seperti ini akan dapat menipu lebih ramai anak muda Johor?

“Pemuda UMNO Malaysia menyeru Bangsa Johor tidak tertipu sekali lagi oleh puak yang sama kali ini. Berwaspadalah dengan janji manis beracun mereka ini.

“Kita yakin, majoriti Bangsa Johor tidak sesekali akan membiarkan mereka ditipu sekali lagi. Demi kestabilan masa depan, Bangsa Johor lebih wajar memberi peluang kepada BN untuk mengemudi negeri Johor yang stabil dan gemilang,” katanya. – MalaysiaGazette