Majlis Penyerahan Dividen Tanam Semula Komersil (TSK) oleh Pengerusi RISDA, Datuk Seri Mohd Salim Mohd Sharif.

SIMPANG RENGGAM – Berita baik bagi pekebun kecil apabila Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) mengumumkan peruntukan bernilai RM86.57 juta bagi pembangunan produktiviti dan pemasaran kecil getah matang di seluruh negara.

Peruntukan ini juga bakal dinikmati oleh 39,620 pekebun kecil yang telah menerima bantuan semula getah dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) yang juga dipercayai akan meningkatkan pendapatan golongan itu.

Menurut Pengerusi RISDA, Datuk Seri Mohd Salim Mohd Sharif, pihaknya fokus dalam misi meningkatkan pendapatan pekebun kecil kepada RM4,500 menjelang 2025 kelak.

“Antara enam program itu termasuklah Program Peningkatan Produktiviti Getah, Skim Insentif Getah dan Lateks, Pembangunan Infrastruktur Pemasaran, Pemasaran Dalam Ladang dan Rancangan Khas Pemulihan Kebun,” katanya.

Pengerusi RISDA, Datuk Seri Mohd Salim Mohd Sharif,

Beliau berkata demikian kepada sekumpulan pemberita pada sidang media selepas menghadiri Majlis Penyerahan Dividen Tanam Semula Komersial (TSK) di Simpang Renggam petang tadi.

Kata Mohd Salim lagi, RISDA telah mengambil inisiatif kepada Program Pembangunan Tanam Semula yang dilaksanakan secara berkelompok di mana 30 peratus dibangunkan oleh Kumpulan RISDA Holdings atau Koperasi Pekebun Kecil sebagai ejen mengurus bagi menghasilkan lateks.

Jelas beliau, RISDA menetapkan Zon Pengeluaran Lateks Pekebun Kecil dengan penubuhan sebuah Depo Pengumpulan Lateks (DPL) bagi setiap 500 hingga 1,000 hektar kawasan getah.

“Sebenarnya untuk makluman harga lateks kini lebih tinggi daripada harga getah beku yang mampu meningkatkan produktiviti getah.

“Mungkin kerja ini memerlukan masa tambahan yang lebih bagi pekebun namun ianya pasti membawa pulangan yang baik sekali sekali gus menambah pendapatan golongan ini.

“Malah golongan belia sendiri boleh menceburi bidang getah ini, kita ada menyediakan geran khas bagi menjalankan ekonomi tambahan. Info dan maklumat berkaitan program pembangunan tanam semula getah ini kita mohon pekebun hadir ke mana-mana cawangan untuk dapatkan khidmat nasihat,” ujarnya.

Dalam pada itu, Mohd Salim juga turut menyerahkan dividen TSK Sawit kepada 52 peserta yang berjumlah RM26,000 daripada Projek TSK Kampung Parit Seraya, Pontian.

Untuk makluman TSK adalah program tanam semula melalui penyatuan kebun kecil yang diuruskan oleh RISDA Plantation Sdn Bhd (RPSB) dari peringkat pembangunan sehingga pengeluaran serta pemasaran hasil untuk keluasan kira-kira 40 hektar atau lebih. -MalaysiaGazette