Penggunaan katil bagi kes kritikal di seluruh negara semalam menunjukkan bawah 50 peratus.

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan perbezaan antara data harian kemasukan kes Covid-19 ke hospital berbanding kes kategori 1 hingga 5 yang baharu didiagnosa setiap hari.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, perbezaan itu berlaku berikutan keadaan klinikal pesakit yang dinamik dan mungkin merosot atau bertambah baik sepanjang dijangkiti Covid-19.

Pada masa sama, kata beliau, terdapat juga kes Covid-19 berisiko tinggi dari kategori 1 dan 2 yang memerlukan kemasukan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) dan hospital sebagai langkah berjaga-jaga.

“Semalam, sebanyak 1,756 kes Covid-19 dimasukkan ke hospital dengan 724 kes adalah kategori 3, 4, dan 5 serta 1,032 kes merupakan kategori 1 dan 2,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.

Beliau turut memaklumkan mengenai penggunaan katil Covid-19 dan PKRC sehingga semalam.

Katanya, bagi katil kes kritikal atau ICU, sebanyak lima negeri iaitu Selangor (83 peratus), Putrajaya (83 peratus), Johor (70 peratus), Kelantan (69 (peratus, dan Kuala Lumpur (54 peratus) menunjukkan peratusan pengisian ≥ 50 peratus.

Manakala katil bukan ICU pula 12 negeri iaitu Selangor (118 peratus), Putrajaya (106 peratus), Perlis (98 peratus), Kuala Lumpur (92 peratus), Perak (90 peratus), Kelantan (88 peratus), Terengganu (78 peratus), Pahang (70 peratus), Johor (66 peratus), Sarawak (64 peratus), Pulau Pinang (58 peratus) dan Sabah (51 peratus ) menunjukkan peratusan pengisian ≥ 50 peratus.

Bagi katil PKRC pula hanya satu negeri iaitu Melaka (63 peratus) menunjukkan peratusan pengisian ≥ 50 peratus dan pesakit Covid-19 yang memerlukan alat bantuan pernafasan menurun kepada 216 pesakit dengan peratusan penggunaan ventilator 24 peratus. – MalaysiaGazette