Reaksi Shila Amzah dan Sekumpulan Orang Gila (SOG) selepas dinobatkan sebagai Juara AJL36 pada malam Anugerah Juara Lagu 36 (AJL36) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur. Foto MALAYSIA GAZETTE, 06 MAC 2022.

KUALA LUMPUR – Polis mengeluarkan kompaun sebanyak RM1,000 setiap individu yang berpelukan pada majlis Anugerah Juara Lagu ke-36 (AJL36) yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia, di sini, semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya terkesan satu gambar yang dimuat naik melalui portal online MalaysiaGazette.com yang memaparkan sekumpulan individu sedang berpelukan pada majlis di Pusat Dagangan Dunia, Jalan Tun Ismail, Kuala Lumpur.

Berikutan itu, katanya, Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Dang Wangi telah menjalankan siasatan dan mendapati kejadian tersebut berlaku pada majlis AJL36 yang berlangsung semalam.

Tambah beliau, kesemua individu yang terlibat telah dipanggil bagi membantu siasatan atas kesalahan ketidakpatuhan prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 4 kerana tidak mengamalkan penjarakan fizikal.

“Tawaran kompaun sebanyak RM1,000 telah dikeluarkan kepada setiap individu yang terlibat termasuk penganjur mengikut Peraturan 17(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan()Pelan Pemulihan Negara) 2021,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Semalam MalaysiaGazette yang membuat liputan majlis AJL36 menyiarkan gambar Sekumpulan Orang Gila (SOG) yang berada di atas pentas berpelukan selepas kumpulan itu dinobatkan sebagai juara AJL36.

Justeru, Naazron menasihati orang ramai supaya terus mematuhi SOP yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam memutuskan rantaian wabak Covid-19. – MalaysiaGazette