SUBANG – Timbalan Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Jen Datuk Seri Mohd Asghar Khan Goriman Khan dilantik sebagai Panglima TUDM yang ke-20 berkuat kuasa hari ini.
Beliau menggantikan Jen Tan Sri Ackbal Abdul Samad yang bersara wajib pada September ini.
Upacara pemakaian pangkat Jeneral kepada Mohd Asghar Khan dipakaikan sendiri oleh Ackbal dengan disaksikan Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Jen Tan Sri Affendi Buang di Pangkalan Udara Subang, di sini.
Mohd Asghar Khan berkata pengalamannya sebagai Timbalan Panglima TUDM selama dua tahun di bawah pimpinan Ackbal akan digunakan bagi meneruskan usaha memantapkan pasukan udara itu.
“Kami melalui cabaran dalam situasi negara yang berhadapan dengan pandemik COVID-19 dan usaha tersebut ini akan diteruskan bagi menerajui pasukan.
“Terima kasih atas kepercayaan kepada saya untuk menerajui TUDM,” katanya pada sidang media selepas majlis perbarisan persaraan Panglima Tentera Udara ke-19 dan serah tugas di Pangkalan Udara Subang di sini, hari ini.
Mohd Asghar Khan, 57, anak kelahiran Selangor menyertai ATM pada 1983 sebagai pegawai kadet di Maktab Tentera Diraja sebelum memulakan kerjaya sebagai juruterbang pesawat pejuang TUDM pada 1985.
Beliau telah menerbangkan pesawat pejuang A4 Skyhawk, F-5E, MiG-29N dan Sukhoi 30MKM serta diberi kepercayaan memegang pelbagai jawatan penting dalam TUDM dan ATM sebagai jurulatih, staf dan pemerintah.
Sementara itu, jawatan Timbalan Panglima TUDM akan disandang oleh Panglima Operasi Udara, Lt Jen Datuk Mohammad Salleh Osman.- BERNAMA