Wan Rosdy Wan Ismail

MERSING – Para pengundi perlu diberikan pemahaman mengenai rasional di sebalik pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri 12 Mac ini.

Penyelaras Pilihan Raya Barisan Nasional (BN) Zon Utara, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, penjelasan itu perlu kerana masih ramai dalam kalangan penduduk di negeri itu menganggap DUN negeri tidak seharusnya dibubarkan.

“Kita akan terus berjumpa dengan pengundi di lapangan dan juga akan melipatgandakan penggunaan rangkaian media sosial secara agresif untuk menerangkan kepada mereka apa rasional di sebalik tindakan pembubaran DUN dilakukan kali ini.

“Ini kerana kami mendapati masih ramai dalam kalangan bangsa Johor merasakan DUN tidak sepatutnya dibubarkan dan masih menggunakan alasan itu dan sebagainya.

“Maka BN kini mengalih fokus ke arah itu dan mengambil tanggungjawab sepenuhnya untuk menjelaskan kepada pengundi rasional DUN dibubarkan untuk membolehkan kerjasama penuh rakyat diraih untuk BN menang bergaya dan membentuk kerajaan yang kuat dan stabil,” kata Menteri Besar Pahang itu.

Wan Rosdiy berkata demikian selepas menghadiri program santai bersama pengundi di Endau di sini pada malam tadi.

Bagi tujuan itu, katanya, kini kempen BN telah memasuki fasa kedua yang dianggap sangat penting dan getir dan selaras dengan itu, anggota jentera akan ditambah lagi berbanding lebih 400 anggota sedia ada untuk memenangkan calon-calon BN termasuk di Mersing.

Dalam pada itu, Wan Rosdy menambah, faktor ekonomi yang merudum sejak 2018 akibat ketidaktentuan politik di Johor menjadi punca perlu diadakan PRN.

“Ekonomi di Johor menguncup akibat ketidakstabilan politik dan MB Johor (Hasni) telah menghadapi kesukaran untuk menjalankan tugas kerana diasak bertalu-talu dan diletakkan macam-macam syarat sehingga menggugat usahanya untuk membawa pentadbiran yang kukuh dan stabil.

“Maka cara terbaik kita pilih untuk serahkan kembali kepada rakyat untuk menentukannya dengan harapan mereka buat pilihan yang tepat,” katanya.

Ditanya mengulas mengenai potensi kemenangan BN di Mersing, beliau menjelaskan, kemenangan kali ini mampu memihak kepada BN namun dalam masa yang sama pihaknya tidak mahu terlalu yakin dan berada dalam zon selesa.

“Berbaki beberapa tujuh hari lagi tempoh berkempen, BN Pahang turut meningkatkan jentera partinya bagi memberi sokongan untuk PRN Johor.

“Saya nasihatkan jentera saya supaya jangan terlalu yakin kerana politik ini sangat agresif dan dinamik.

“Jika kita terus jumpa pengundi dan terangkan rasional pilih BN, semuanya akan kembali baik.. kalau ekonomi menguncup anak-anak muda tiada tempat (pekerjaan) dan ini semua akan diterangkan dan memastikan pengundi menerima BN secara terbuka.

“Apa yang berlaku di Johor tiada matlamat lain selain ingin mengembalikan kecemerlangan ekonomi di negeri itu seperti satu ketika dahulu.

“Sebenarnya Johor negeri yang cemerlang dan kita bekerja keras ke arah itu dan mahu kembalikan semula kecemerlangan itu menerusi PRN kali ini,” tegasnya. – MalaysiaGazette