WASHINGTON – Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) menggesa rakyat Amerika Syarikat mengelak perjalanan ke Hong Kong, New Zealand dan Thailand ekoran peningkatan kes Covid-19.

CDC menaikkan syor perjalanannya kepada “Tahap Empat: Sangat Tinggi” untuk tiga destinasi.

Secara keseluruhan, CDC menggesa rakyat Amerika untuk mengelakkan perjalanan di kira-kira 135 negara dan wilayah.

CDC menyenaraikan 33 destinasi lain sebagai “Tahap 3: Tinggi” dan mengesyorkan warga Amerika yang tidak divaksinasi mengelakkan perjalanan.

Pada masa sama, ia menurunkan enam destinasi pada hari Isnin ke Tahap 3: Anguilla, Cape Verde, Fiji, Mexico, Filipina dan Emiriah Arab Bersatu.

Hanya 29 destinasi disenaraikan sebagai “Tahap 2: Sederhana” atau “Tahap 1: Rendah.”

Hong Kong melaporkan 25,150 jangkitan koronavirus baharu dan 280 kematian pada Isnin, ketika pihak berkuasa bergelut untuk membendung wabak Covid-19 yang semakin teruk yang melanda rumah penjagaan warga emas yang tidak divaksin.

Walaupun Hong Kong berjaya mengawal virus itu pada 2021, jangkitan Covid-19 di sana baru-baru ini melonjak kepada sekitar 500,000 dengan lebih 2,200 kematian di bandar yang dikuasai China itu dalam dua minggu lalu.

Hong Kong melaporkan kematian paling banyak di seluruh dunia bagi setiap juta orang dalam seminggu setakat 6 Mac lalu, menurut penerbitan data Our World in Data.

CDC menaikkan Hong Kong ke “Tahap 3” minggu lepas. – Today Online (https://www.todayonline.com/world/us-cdc-urges-americans-avoid-travel-hong-kong-new-zealand-1839426)