Muhammad Aidan Saqeef Mohamad Syafirza kini bergantung hidup dengan bantuan alat pernafasan.

GEORGE TOWN – Seorang bayi berusia 30 hari terpaksa menanggung penderitaan selepas didiagnos menghidapi masalah jantung yang serius sejak dilahirkan.

Malah, sejak dilahirkan Muhammad Aidan Saqeef Mohamad Syafirza tidak pernah pulang ke rumah, sebaliknya ditempatkan di Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU) Hospital Seberang Jaya susulan dia bergantung penuh pada alat bantuan pernafasan.

Bapanya, Mohamad Syafirza Sazali, 25, berkata, masalah yang dihadapi oleh anak tunggalnya itu dikesan doktor sejak berada dalam kandungan selepas degupan jantung bayi itu semakin perlahan.

Jelasnya, susulan itu satu pembedahan dilakukan serta-merta untuk menyelamatkan bayi serta nyawa isterinya sebelum doktor memberitahu bahawa pembedahan jantung perlu dijalankan secepat mungkin.

Mohamad Syafirza bersama isterinya meminta bantuan One Hope Charity untuk mengumpul dana awam bagi pembedahan jantung anak tunggal mereka.

“Doktor mengesyorkan kami pergi ke hospital swasta untuk mempercepatkan tempoh pembedahan namun, kami tidak mampu menanggung kos pembedahan berjumlah RM90,000.

“Saya bekerja sebagai peniaga sayur dengan pendapatan bulanan RM2,000 manakala isteri pula sudah berhenti kerja selepas hamil.

“Selain itu, kos RM90,000 itu hanya untuk pembedahan pertama dan bayi kami perlu menjalani dua lagi pembedahan untuk memastikan kekal sihat,” katanya hari ini.

Tambah Mohamad Syafirza, pihaknya meminta bantuan daripada daripada pertubuhan kebajikan, One Hope Charity and Welfare (One Hope Charity) bagi mengumpul dana pembedahan Muhammad Aidan Saqeef.

Sementara itu, Pengerusi pertubuhan kebajikan, One Hope Charity, Datuk Chua Sui Hau berkata, mengikut laporan perubatan yang dibekal hospital mendapati bilik jantung kanan Muhammad Aidan Saqeef berkembang dan pembedahan perlu dilakukan serta-merta bagi memastikan kesihatan bayi itu tidak terancam.

Katanya, pembedahan pertama ini dilakukan bagi menyelesaikan isu tekanan paru-paru akibat daripada masalah kadar oksigen dalam darah.

“Pembedahan ini adalah penting dalam mengekalkan nyawa bayi tersebut manakala pembedahan kedua pula perlu dijalankan ketika bayi itu berusia antara dua hingga tiga tahun dan pembedahan terakhir bagi menyelesaikan segala masalah jantung pada usia lima hingga enam tahun.

“Ini merupakan saat kritikal buat bayi berkenaan dan pembedahan harus dilakukan segera agar dia boleh meneruskan kehidupannya seperti anak kecil lain.

“Pihak keluarga memberi kebenaran kepada kami untuk mengumpul kos perubatan dari orang awam berjumlah RM90,000 sekali gus menguruskan rawatan bayi mereka,” kata beliau.

Sehubungan itu, sumbangan boleh disalurkan menerusi akaun bank One Hope Charity & Welfare 3193433435 (Public Bank) atau menerusi laman sesawang www.onehopecharity.org.

Orang ramai boleh menghubungi talian 016 419 2192, 019 232 2192 atau 04 539 9212 untuk maklumat lanjut. – MalaysiaGazette