Gambar hiasan

KAMI dilahirkan dan dibesarkan oleh seorang wanita yang bukan sahaja mulia, tetapi ‘perkasa’. Keperkasaan mama bukan dari aspek fizikal, tetapi beliau punyai kekuatan mental, sahsiah dan rohani yang menjadikannya seorang yang tidak mudah berputus asa, tidak taksub dengan kilauan permata dan sentiasa bersederhana. ‘Perkasa’ menahan diri dari sifat amarah yang melulu dan sentiasa bersangka baik membuatkan beliau seorang yang tidak berdendam atau bermusuhan dengan sesiapa. Kesabaran dan kebaikan akhlak mama kami idolakan dari kecil sehingga dewasa.

Media sentiasa menggambarkan wanita yang perkasa ialah mereka yang berdiri sebaris dengan lelaki. Kayu ukur kejayaan dan kehebatan wanita disandarkan pada apa yang lelaki berjaya miliki. Perbandingan kejayaan dalam ruang lingkup sempit sedemikian membuatkan wanita sentiasa rasa mereka harus menjadi seperti lelaki. Harus perkasa seperti lelaki.

Walhal, wanita tidak perlu dibandingsama dengan lelaki kerana wanita memiliki ke‘perkasa’an mereka yang tersendiri. Mungkin tidak nampak secara zahir (intangible), tetapi meninggalkan kesan yang bermakna. Ibarat pepatah yang biasa didengar, ‘tangan yang menghayun buaian boleh menggoncang dunia’. Hasil didikan dan asuhan wanita yang ‘perkasa’ jiwa dan peribadinya telah melahirkan manusia yang berjiwa besar, menjadi pemimpin dan cendikiawan yang teguh pendirian dalam membina negara.

Betapa ‘perkasa’nya wanita ciptaan Tuhan sehingga diamanahkan untuk mengandung, melahirkan dan menyusukan anak. Peranan ini bukan kerja enteng, malahan disebut berulang-kali dalam al-Quran tentang besarnya pengorbanan dan kesusahan seorang wanita bergelar ibu. Dalam ke’perkasa’an mereka, wujud kelembutan dan sifat kasih-sayang yang tebal. Ini membolehkan wanita menjadi bahu sandaran untuk anak
bermanja dan penyokong kemajuan suami. Keperkasaan wanita membolehkan mereka mengurus dan mengatur masa dengan teliti dalam segala aspek kehidupan, dari hal keluarga, agama sehingga kerjaya.

Seorang wanita mampu menyiapkan tugasan di komputer riba sambil mengurus hal persekolahan anak, dalam usaha memacu kehidupan sendiri dan keluarga agar bergerak seiring. Sejarah Islam telah membuktikan keperkasaan wanita dalam arena yang pelbagai. Saiyidatina Khadijah r.a dihormati sebagai ahli perniagaan yang kaya-raya. Saiyidatina Aisyah r.a merupakan antara perawi hadith dan ilmuwan yang disegani kerana kecerdasan akalnya. Sirah Nabi Sulayman a.s pula mengkisahkan tentang kepimpinan Puteri Balqis sebagai ketua negara Saba’.

Kesemua kisah ini membuktikan golongan wanita, sejak zaman berzaman lagi adalah golongan yang bijaksana dalam membina kehidupan mereka, selain memberi manfaat kepada keluarga, bangsa dan negara. Sehingga kini, figura wanita perkasa dan hebat di seluruh dunia dapat dilihat. Ada yang menjadi pemimpin negara, ahli akademik, saintis, penulis, ahli sukan, pendidik, peniaga, pengusaha, dan pengurus keluarga yang berjaya. Kejayaan dan penglibatan aktif dalam pelbagai bidang membuktikan ke‘perkasa’an wanita yang mampu mencorak jalan
mereka sendiri.

Barangkali apa yang perlu diperkasakan bukanlah wanita, tetapi pemikiran masyarakat sekeliling. Masyarakat perlu difahamkan bahawa wanita mempunyai kekuatan yang unik, cocok dengan naluri dan fitrah kejadiannya. Naratif wanita sebagai golongan yang lemah dan tidak berdaya adalah satu paradigma lapuk yang harus dihentikan. Cukuplah menjaja dan mengulangsiar kisah wanita sebagai penggoda nafsu lelaki dan perosak rumahtangga. Darjat wanita diangkat dan dimuliakan dalam Islam, sewajarnya kisah kehebatan wanita yang diketengahkan untuk dijadikan teladan dan inspirasi remaja perempuan hari ini agar mereka bercita-cita tinggi dalam hidup.

Apabila seorang anak perempuan dibesarkan dalam suasana yang membina dan menyokong, jati diri dan keyakinannya akan tumbuh mekar seterusnya membuka pintu-pintu kejayaan. Ayuh wanita, kita bina kejayaan dalam lapangan dan jalan kita masing-masing. Kerana kita semua mampu dan ‘perkasa’ untuk mencapainya. Selamat Hari Wanita untuk kita semua!

Oleh: Dr Nazirah Ab Mumin
Pensyarah Pergigian,
Fakulti Pergigian, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) &

Dr Nazimah Ab Mumin
Pensyarah Perubatan dan Pakar Radiologi,
Fakulti Perubatan, Universiti Teknologi Mara (UiTM)

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast