Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan hari ini memerintahkan seorang ustaz yang didapati bersalah mencederakan seorang anak muridnya di bahagian kaki kiri dan kanan dengan menggunakan rotan lima tahun lepas, menjalani hukuman penjara enam bulan berkuat kuasa hari ini.

Ini berikutan keputusan sebulat suara panel tiga hakim diketuai Hakim Datuk Hanipah Farikullah yang mengembalikan semula hukuman penjara enam bulan dan denda RM2,000 yang dijatuhi terhadap Muhammad Adib Abd Halim, 28, oleh Mahkamah Majistret Kajang pada 16 November 2018.

Hakim itu turut mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 26 Jun 2019 yang menggantikan hukuman penjara enam bulan kepada penjara sehari dan menaikkan jumlah denda daripada RM2,000 kepada RM4,000 terhadap Muhammad Adib.

Hakim Hanipah dalam penghakimannya berkata mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, denda maksimum yang boleh dikenakan tidak melebihi RM2,000 dan hukuman yang dikenakan ke atas Muhammad Adib selaku responden adalah menyalahi undang-undang.

“Dengan itu, keseluruhan hukuman (penjara sehari dan denda RM4,000) yang dikenakan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam adalah tidak sah kerana tidak selaras dengan Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan ia perlu diketepikan oleh mahkamah ini,” katanya yang turut bersidang bersama-sama Hakim Datuk P. Ravinthran dan Datuk Hashim Hamzah.

Menurut Hanipah, dalam kes itu, pihak pendakwa raya telah merayu terhadap keseluruhan hukuman oleh hakim Mahkamah Tinggi dan mahkamah mendapati mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, hukuman yang diperuntukkan tidak boleh melebihi setahun penjara atau denda tidak melebihi RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

“Mengikut rekod rayuan, adalah jelas bahawa Mahkamah Majistret mengenakan hukuman mengikut peruntukan undang-undang. Faktor-faktor yang telah diambil kira oleh majistret dalam menentukan hukuman ke atas responden antara lain tahap kecederaan yang dialami oleh mangsa sehingga menyebabkan mangsa dimasukkan ke dalam hospital selama dua hari.

“Kami mendapati Mahkamah Majistret juga mengambil kira bahawa mangsa adalah di bawah jagaan responden selain mengambil kira faktor mitigasi yang dikemukakan oleh responden dalam menjatuhkan hukuman,” katanya.

Hakim Hanipah berkata, mahkamah mendapati bahawa hakim Mahkamah Tinggi telah mengganggu hukuman yang dijatuhkan oleh majistret dan tidak menyentuh langsung apakah kesilapan yang dibuat oleh majistret dan prinsip hukuman yang diguna pakai.

“Oleh itu, mahkamah ini wajar campur tangan keputusan hakim Mahkamah Tinggi. Dengan ini, hukuman yang dikenakan oleh Mahkamah Tinggi diketepikan dan hukuman oleh Mahkamah Majistret dikembalikan.

“Wang denda jika terlebih bayar oleh responden hendaklah dikembalikan kepadanya. Hukuman penjara enam bulan berkuat kuasa dengan serta-merta dan waran komital dikeluarkan,” katanya.

Muhammad Adib yang kelihatan terkejut dengan keputusan itu, sebelum ini dibicarakan atas tuduhan menyebabkan kecederaan ke atas seorang murid lelaki berusia 11 tahun di dalam kelas di sebuah sekolah rendah agama di Bandar Seri Putra, Hulu Langat, pada  2.25 petang, 16 Ogos 2017 dan dituduh mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Pada prosiding hari ini, pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Dhiya Shazwani Izyan Mohd Akhir manakala Muhammad Adib diwakili peguam Khairul Amin Abdullah. – Bernama