Undi18 Sarawak state election polls Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar. Undi18 voters Election Commission anti-party hopping
Wan Junaidi Tuanku Jaafar

KUALA LUMPUR – Kerajaan bersetuju had nilai bagi pertikaian di bawah sektor pembinaan yang sebelum ini ditetapkan pada kadar tidak melebihi RM500,000 dimansuhkan kepada tanpa had nilai.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, pemansuhan had nilai itu bagaimanapun hanya melibatkan kes di bawah kategori pembinaan sahaja.

“Manakala had nilai bagi lain-lain kategori adalah kekal pada RM500,000.

“Inisiatif ini diharap dapat membantu mempercepatkan pemulihan projek bermasalah dan seterusnya merancakkan semula industri pembinaan negara,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau menjelaskan, langkah itu sebagai menyokong pindaan Akta 829 yang telah dikuatkuasakan mulai 14 Januari lalu, yang mana telah membenarkan apa-apa kategori pertikaian kontrak dirujuk kepada Pusat Mediasi Covid-19 (PMC-19) tanpa tertakluk kepada sembilan kategori yang ditetapkan sebelum ini.

“Harapan saya agar warga Keluarga Malaysia yang mempunyai sebarang pertikaian kontrak termasuk kontrak pembinaan akibat pelaksanaan perintah kawalan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 sejak 2020 untuk menyelesaikan pertikaian secara baik.

“Sebolehnya, tanpa melibatkan proses perbicaraan di mahkamah melalui perkhidmatan pengantaraan (mediasi) yang ditawarkan oleh PMC-19,” katanya.

Kata Dr. Wan Junaidi, PMC-19 berperanan membantu orang awam dan entiti perniagaan menyelesaikan pertikaian berbangkit.

Kata beliau, pertikaian yang berpunca daripada ketidakupayaan untuk melaksanakan obligasi kontraktual yang disebabkan oleh langkah diambil kerajaan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

“Dalam hal ini, berdasarkan Seksyen 9 kepada Akta Langkah-Langkah Sementara Bagi Mengurangkan Kesan Penyakit Koronavirus 2019 (Covid-19) 2020, saya diperuntukan kuasa untuk menentukan proses pengantaraan, pelantikan pengantara, peranan pengantara, perjalanan pengantaraan dan pengakhiran pengantaraan.

“Sebelum ini, had nilai pertikaian yang boleh dirujuk untuk pengantaraan melalui PMC-19 bagi semua kategori tidak melebihi RM500,000.

“Bagaimanapun, berdasarkan maklum balas melalui sesi libat urus antara Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri dan pemain utama sektor pembinaan, didapati terdapat keperluan untuk had nilai bagi pertikaian di bawah sektor pembinaan di PMC-19 disemak semula,” katanya. – MalaysiaGazette