Murni Muda membantu anaknya Eqzarra Fariesya semasa mengikuti kelas dalam talian ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Bekok, Johor. Foto AFFAN FAUZI, 13 JUN 2021.

DEWASA ini, kebanyakan wanita khususnya di Malaysia mampu bersaing dan boleh menempatkan diri dalam bidang-bidang utama di negara kita. Laporan Indeks Jurang Gender Malaysia (MGGI) yang dikeluarkan daripada Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan bahawa tahap kesaksamaan gender secara keseluruhannya bertambah baik dengan merekodkan skor kesaksamaan 71.4 peratus pada tahun 2020. Data ini membuktikan bahawa wanita turut sama memainkan peranan penting dalam membangunkan negara dan masyarakat.

Tanggal 8 Mac merupakan tarikh yang istimewa buat kaum wanita di mana sambutan Hari Wanita diraikan pada setiap tahun. Sambutan ini diadakan bagi tujuan menghargai serta mengiktiraf kejayaan yang dikecapi oleh golongan wanita. Jika ditelusuri sejarah silam, kaum wanita pada mulanya dipandang hina dan hanya dianggap sebagai alat pemuas nafsu. Masyarakat Arab jahiliah sangat bencikan wanita sehingga mereka sanggup membunuh bayi perempuan mereka. Sejak kedatangan Islam ke muka bumi, keadaan ini mula berubah. Golongan wanita tidak lagi ditindas bahkan kedudukan mereka diangkat dan dimuliakan.

Penghormatan Islam terhadap wanita dapat dibuktikan menerusi pensyariatan perkahwinan yang  mana seorang lelaki dilarang untuk memiliki seorang wanita secara paksaan. Sebagaimana firman Allah SWT dalam surah An-Nisa’: ”Wahai orang-orang yang beriman! Tidak halal bagi kamu mewarisi perempuan dengan jalan paksa dan janganlah kamu menyusahkan mereka kerana hendak mengambil kembali sebahagian daripada apa yang telah kamu berikan kepadanya, kecuali apabila mereka melakukan perbuatan keji yang nyata. Dan bergaullah dengan mereka menurut cara yang patut.” (4:19)

Rasulullah SAW juga ada bersabda: ”Hendakkah kamu aku beritahukan tentang sebaik-baik harta seorang lelaki adalah wanita yang solehah. Apabila dia melihat kepadanya, dia akan menggembirakan, apabila dia memberi arahan kepadanya wanita itu taat, dan apabila dia tidak berada di sisinya, wanita itu menjaga maruah dirinya.” (HR Abu Daud)

Ini jelas menunjukkan bahawa tiada diskriminasi terhadap golongan wanita malah Islam telah meninggikan kedudukan wanita ke tahap yang selayaknya. Hasilnya, kita dapat lihat wanita kini mampu berdiri sama tinggi dengan golongan lelaki. Bukan untuk bersaing bahkan kedua-duanya mempunyai peranan penting dan saling melengkapi antara satu sama lain dalam menjalani kehidupan.

Melihat kepada pencapaian wanita pada masa kini, amatlah wajar untuk kita menghargai dan menggunakan semua ruang dan peluang yang ada bagi memastikan wanita dapat berfungsi sepenuhnya serta menjalankan segala tanggungjawab yang diamanahkan. Pertamanya, wanita
sangat sinonim dengan tugas sebagai pengurus rumah tangga. Tidak dinafikan ramai wanita telah menceburkan diri dalam pelbagai bidang kerjaya, tetapi menguruskan sebuah keluarga juga merupakan satu pekerjaan yang mulia.

Saidina Umar al-Khattab berkata: ”Lelaki yang berjaya itu dilihat daripada dua perkara. Pertama, siapa ibunya. Dan kedua, siapa isterinya.” Ungkapan ini jelas menyatakan bahawa wanita bertanggungjawab dalam mencorak kemenjadian seorang lelaki di mana mereka inilah yang bakal menjadi pemimpin pada suatu hari nanti. Seorang wanita yang bergelar isteri atau ibu perlu mendidik suami dan anak-anak agar mereka
berhasil menjadi sosok yang didambakan dan mampu berkhidmat kepada agama dan negara.

Seterusnya yang kedua, ramai wanita yang telah mencurah bakti kepada masyarakat. Mereka sanggup berkorban masa, tenaga dan wang ringgit demi menjalankan tanggungjawab sosial. Semua perkara ini dilakukan demi melihat persekitaran yang didiami terdiri daripada sebuah masyarakat yang harmoni dan saling bekerjasama. Perkara yang terakhir dan terutama, setiap manusia perlu menunaikan kewajipan kepada
Tuhannya. Maka dengan menjadi wanita solehah yang melaksanakan segala perintah Allah dan menjauhi larangan-Nya perlu menjadi sasaran setiap muslimah.

Zaman kini di mana media sosial digunakan secara berleluasa memerlukan wanita untuk lebih menjaga diri agar maruah wanita terpelihara. Di sinilah perasaan malu perlu ada sebagai benteng yang melindungi para wanita daripada terjerumus ke kancah dosa.
Seperti mana sabda Nabi SAW: ”Jika engkau tidak malu, maka berbuatlah sesukamu.” (HR Bukhari)

Secara kesimpulannya, Islam hadir memperbaiki keadaan manusia yang dahulunya dipenuhi sisi gelap dan seterusnya mengangkat martabat wanita ke tahap di mana kita mampu mengecapi nikmat dalam menjalani kehidupan. Justeru, para wanita seharusnya bangkit dan berani melakukan perubahan dalam mendepani cabaran semasa agar matlamat dapat dicapai selari dengan apa yang digariskan dalam Islam.

Dr Izzah Kamilah Mohd Tahir

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast