Noor Hariri Mohamed Noor

KUALA LUMPUR – Singapura dianggap bertuah dan bernasib baik kerana tidak ada parti Pas di negara itu sama ada sebagai pembangkang atau parti perosak.

Ketua Pemuda UMNO Kelantan, Noor Hariri Mohamed Noor menegaskan, sekiranya Pas bertapak di negara itu, pembangunan dan sistem politik lebih teruk daripada yang dialami kerajaan Malaysia.

“Saya rasa terpanggil membuat kenyataan ini sebagai mengulas kenyataan daripada Naib Presiden Pas yang juga Timbalan Menteri Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah semalam.

“Dia membuat kenyataan menyindir seolah Singapura maju kerana tiadanya parti UMNO di negara itu.

“Bagi saya pernyataan ini tiada asas pun, hanyalah modal retorik ceramah beliau untuk meraih undi sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor,” katanya kepada media, di sini, hari ini.

Semalam, Mohd Amar mendakwa Singapura lebih maju daripada Malaysia kerana republik itu tidak diperintah oleh UMNO dan sekutunya dalam Barisan Nasional (BN).

Beliau mempersoalkan, mana lebih maju antara Singapura dengan Malaysia, yang tentunya negara itu lebih terkehadapan.

Menurut Noor Hariri, Pas dalam keadaan sangat terdesak ketika ini dan terpaksa sedaya upaya mencari kesalahan UMNO berikutan populariti yang lebih tinggi berbanding Perikatan Nasional (PN) yang disertainya semakin merosot di mata rakyat.

“Dia bercakap pun tiada asas. Tiada fakta. Hanya meraih populariti di hadapan jentera parti sahaja, bukan di kalangan penduduk tempatan.

“Bagi saya, pembetulan pernyataan beliau itu perlu dibuat. Sebenarnya, Singapura maju kerana tiada pembangkang seperti Pas.

“Kenapa saya kata begitu? Kerana umum tahu, pembangkang yang kuat adalah mereka yang mempunyai hujah dan pandangan yang jelas mengenai hala tuju sesebuah negara.

“Ini tidak berlaku kepada Pas yang sentiasa bersepakat bersama parti berlainan ideologi dan fahaman seperti DAP, walaupun parti itu terang-terang menolak Islam sebagai agama rasmi dan mempertikai hak orang Melayu di Malaysia,” katanya.

Ketua Pemuda UMNO Bahagian Pasir Mas itu berkata, motif pakatan pembangkang hanya untuk menjatuhkan UMNO dan BN sahaja, tanpa ada tawaran terbaik untuk rakyat.

Seperti juga PRN Johor ketika ini, Pas dan rakan gabungannya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) hingga ke saat ini belum mengemukakan calon Menteri Besar dari parti mereka.

Katanya, rakyat tahu PN tiada calon berwibawa dan diyakini rakyat serta penyertaannya dalam PRN Johor bukan untuk memberi khidmat kepada rakyat.

“Sebaliknya, hanya menjadi pengacau pertembungan antara BN melawan Pakatan Harapan (PH).

“Ini membuktikan PN lahir daripada sifat tidak elok daripada DNA PH,” ujar beliau. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Padan muka Pak Pandir politikus tendang keluar Singapore kepada majority undi baka pekerja warga asing timah dan getah yang menguntungkan ekonomi penjajah Inggeris. Syabas Azeris ambil balik Nogorno-Karabah selepas PBB tak boleh diharap.

Comments are closed.