The Chairman of Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi addressing the Indian community at Tampoi, Johor Bahru in conjunction with Johor state election. PIX: FAREEZ FADZIL / MalaysiaGazette / 11 MARCH 2022
Ahmad Zahid Hamidi PIX: FAREEZ FADZIL / MalaysiaGazette / 11 MARCH 2022. Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyampaikan ucapan kepada masyarakat India sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di Tampoi, Johor Bahru. Foto FAREEZ FADZIL, 11 MAC 2022.

JOHOR BAHRU – Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi meluahkan keyakinan gabungan itu akan dapat mencipta kemenangan dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 sekiranya memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor esok.

Beliau yang juga merupakan Presiden UMNO berkata, ini kerana terdapat  feel good factor dalam kalangan masyarakat khususnya pengundi pada ketika ini.

“Dalam tempoh kurang daripada 24 jam, PRN Johor akan bermula dan kemenangan BN di negeri ini adalah petunjuk kepada PRU-15 nanti. Jika kita menang di Johor, saya yakin kita juga akan raih kemenangan di peringkat Malaysia.

“Jadi untuk itu, kita perlu memenangkan calon-calon BN terlebih dahulu, kerana kemenangan calon BN sama ada dari UMNO, MCA dan MIC akan beri kemenangan kepada kita semua,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap ketika menghadiri program ramah mesra di bilik gerakan MIC Johor di sini hari ini.

Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (tengah) beramah mesra dengan masyarakat India sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di Tampoi, Johor Bahru. Foto FAREEZ FADZIL, 11 MAC 2022.

Ahmad Zahid menambah, hanya BN yang mampu mentadbir negeri dan negara ini dengan sifat kepelbagaian dan kemajmukan kaum berbanding parti politik atau gabungan lain.

Jelas beliau, penyokong mereka juga tidak seharusnya melihat kepada latar belakang calon sama ada mereka Melayu, Cina atau India sebaliknya perlu memberi kepercayaan kepada logo dacing yang dibawakan secara bersama.

“Dalam PRN Johor ini, MCA bertanding 15 kerusi, MIC empat kerusi manakala UMNO 37 kerusi tetapi apa yang penting bukan soal banyak atau sedikit kerusi itu tetapi sebaliknya berapa kerusi boleh dimenangi, itu lebih penting.

“Kita lihat tiada keikhlasan dalam kerjasama antara kaum apabila melibatkan parti-parti politik lain, hanya di BN dapat kita lihat UMNO tolong MIC, MCA tolong UMNO dan MIC tolong MCA.

“Perikatan Nasional (PN) misalnya, mereka kononnya mahu jadi kerajaan di Johor, mereka ada calon Melayu, ada calon Cina tetapi tiada calon India, itu ertinya mereka tidak prihatin dan tidak menghargai pengundi India di Johor,” ujarnya. – MalaysiaGazette