Calon Barisan Nasional (BN) N.16 Sungai Balang, Selamat Takim (tiga kiri) beramah mesra dengan penduduk pada hari terakhir berkempen sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) di Warung Bawah Pokok, Muar, Johor. Foto HAZROL ZAINAL, 11 MAC 2022.

MUAR – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Balang, Selamat Takim bertekad untuk terus mengekalkan momentum kemenangan yang dicapai oleh BN menerusi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, esok.

Beliau yang lebih mesra disapa sebagai Cikgu Selamat itu berkata, walaupun BN menang dengan majoriti yang sangat tipis pada PRU14 lalu, namun parti itu belum pernah ditumpaskan di DUN Sungai Balang.

Selamat Takim. Foto HAZROL ZAINAL, 11 MAC 2022.

“Di hujung-hujung kempen ini, saya dapat merasakan keajaiban menang besar di DUN Sungai Balang.

“Sepanjang BN bertanding di Sungai Balang belum ada satu rekod pun mengalami kekalahan, yang lepas itu pun kita masih menang walaupun dengan majoriti tipis 174 undi.

“Ketika itu (PRU14) gelombang untuk tukar kerajaan namun di sini masih menang. Rakyat sekarang pun sudah sedar, gelombang baharu bakal muncul terutamanya dalam kalangan anak muda pada PRN Johor,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette selepas menyantuni penduduk setempat di Parit Jawa di sini hari ini.

Selamat memaklumkan, beliau juga sudah bertemu hampir keseluruhan pengundi di DUN Sungai Balang sepanjang dua minggu berkempen.

Katanya, rata-rata penduduk setempat dan pengundi memberikan respon yang sangat positif kepadanya serta parti.

“Sepanjang dua minggu ini saya dah bertemu semua penduduk dan menyantuni mereka tidak kira dimana sahaja termasuk di warung-warung kopi, tepi jalan serta selepas solat di masjid.

“Justeru, saya menyeru kepada para pengundi di DUN Sungai Balang supaya turun lebih awal esok ke pusat pengundian dan mereka yang berada di perantauan supaya dapat pulang untuk mengundi,” ujarnya yang akan mengundi di Sekolah Menengah Pekan Baru esok.

DUN Sungai Balang menyaksikan pertembungan empat penjuru di antara BN dengan calon dari Parti Keadilan Rakyat, Abdullah Sahid serta calon Parti Pejuang Tanah Air, Intan Nadira Shafika Mustafa Kamal dan calon Perikatan Nasional, Datuk Zainudin Sayuti. – MalaysiGazette