Tosrin menunjukkan isyarat nombor empat ketika tiba di pusat mengundi Sekolah Kebangsaan (SK) Sinar Bahagia di Kulai, pagi tadi.

JOHOR BAHRU – Calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dari Perikatan Nasional bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Permai, Tosrin Jarvanthi tidak pernah berkecil hati biar pun sering digelar ‘calon tua’.

Beliau yang kini mencecah usia 72 tahun sebaliknya menganggap jolokan itu menjadi pembakar semangat kepadanya untuk bersaing dengan calon lebih muda daripadanya.

“Tidak saya tidak pernah ambil hati dengan gelaran calon tua atau veteran atau sebagainya.

“Ini sebenarnya menambahkan semangat saya dan Insyallah dengan semangat tua inilah saya mampu lagi bersaing dengan calon paling muda,” katanya ketika ditemui di pusat mengundi Sekolah Kebangsaan Sinar Bahagia di Kulai pagi tadi.

Beliau tiba kira-kira pukul 8.15 minit pagi.

Menurut Tosrin, pengalaman mentadbir kerajaan dan berkhidmat di kawasan merupakan keistimewaan untuk kembali memenangi kerusi ditandinginya itu.

Beiau juga tidak menjadikan umur sebagai halangan untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada pengundi jika kembali dipilih.

Kerusi DUN Bukit Permai melibatkan pertembungan empat penjuru melibatkan calon Barisan Nasional (BN), Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan PN.

Tosrin berhadapan dengan Datuk Mohd Jafni Md Shukor calon (BN), Mohd Azrol Ab Rahani (Muda) dan Mokhtar Abdul Wahab (Pejuang).- MalaysiaGazette