Najib Samuri

BATU PAHAT – Kejayaan Barisan Nasional (BN) merampas semula kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Parit Yaani pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor semalam menunjukkan penduduk mahu pembangunan selepas ketinggalan selama dua penggal lalu.

Wakil rakyatnya yang baharu, Datuk Najib Samuri berkata, kemenangan itu juga merupakan hadiah kepada penduduk yang bijak membuat keputusan.

“Syukur, akhirnya BN dapat merampas kembali Parit Yaani selepas dua penggal dikuasai Pakatan Harapan (PH).

“Ini merupakan hadiah atau penghargaan kepada seluruh penduduk selepas dua penggal tanpa pembangunan yang agak ketinggalan berbanding dengan DUN Parit Raja di dalam Parlimen Sri Gading,” katanya ketika ditemui hari ini.

Najib berkata, persaingan begitu sengit tetapi daripada awal BN tetap optimis untuk menang walaupun dengan majoriti yang tipis.

“Peringkat awal ini kita akan terus membangunkan pangkalan data untuk merekodkan segala maklumat dan rujukan bagi menyalurkan bantuan yang sepatutnya secepat mungkin kepada masyarakat Parit Yaani,” ujarnya.

Semalam, Najib menewaskan Aminolhuda Hassan yNG JUG Pengerusi PH Johor dengan majoriti tipis iaitu 294 undi.

Najib memperoleh 9,070 undi manakala, Aminolhuda mendapat 8776 undi.

Sementara itu, Aminolhuda melahirkan rasa puas hati atas khidmat sebagai bekas wakil rakyat selama dua penggal di DUN Parit Yaani.

Aminolhuda Hassan

“Kepimpinan atau pemimpin adalah suatu amanah yang dipertanggungjawabkan di dunia dan di akhirat. Seumpama seorang ayah atau ibu yang dipertanggungjawabkan atasnya segala keperluan anak dan keluarganya.

“Alhamdulillah saya terlepas dari tanggungjawab dan amanah besar ini dan saya bersyukur kerana dalam tempoh hampir 10 tahun sebagai ADUN Parit Yaani, saya sangat berpuas hati dengan apa yang telah saya lakukan kepada rakyat dalam kawasan saya.

“Semoga ianya menjadi saksi di hadapan Allah sebahagian dari amal ibadah saya dan rakan-rakan yang membantu saya dan menyumbang dalam pelbagai bentuk sama ada tenaga, masa dan harta,”katanya dalam hantaran di Facebook Parti Amanah Negara yang disiarkan hari ini. – MalaysiaGazette