Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tiba bagi mengikuti keputusan sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di BN Command Center, Johor Bahru. Foto FAREEZ FADZIL, 12 MAC 2022.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri berkata, kemenangan Barisan Nasional (BN) memenangi 40 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN Johor semalam melebihi sasaran ditetapkan oleh parti.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengakui kemenangan besar itu adalah di luar jangkaan memandangkan ramai menjangkakan BN boleh menang tetapi dengan majoriti mudah atau 35 kerusi.

Beliau percaya rakyat sudah boleh membuat perbandingan berbanding sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 kerana negara diperintah BN selama 60 tahun.

Ketika itu, katanya, rakyat hanya melihat kelemahan BN.

”Tetapi selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 rakyat sudah boleh menilai dan ternyata apa yang dijanjikan oleh parti lain tidak dipenuhi walaupun sudah diberikan peluang oleh rakyat.

”Rakyat menilai siapa yang lebih baik dan terbukti BN prihatin membantu rakyat. Disebabkan itu juga kita menang di Melaka. Dalam PRN Johor kali ini, rakyat mudah membuat pilihan,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO mengucapkan terima kasih kepada pengundi Johor kerana memberikan kepercayaan kepada BN untuk menerajui kepemimpinan negeri berkenaan, juga semua jentera yang bekerja kuat untuk memenangkan parti.

Beliau menyeru semua pihak menerima pilihan yang dibuat oleh rakyat Johor dengan hati yang terbuka dan melupakan pertandingan yang telah berlaku dan mengajak bersama-sama esebagai keluarga besar Keluarga Malaysia untuk membangunkan negeri Johor. – MalaysiaGazette