ADUN Layang-Layang, Datuk Abd Mutalip Ab Rahim

SIMPANG RENGGAM – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N27 Layang-Layang, Datuk Abd Mutalip Ab Rahim yang baharu sahaja menang kerusi itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor tidak kekok untuk bekerjasama dengan Maszlee Malik demi manfaat  penduduk Simpang Renggam.

Abd Mutalip yang berjaya mengalahkan Maszlee dalam PRN dengan majoriti 2,815 undi.

Maszlee juga Ahli Parlimen Simpang Renggam yang mana dua DUN bawah Parlimen itu jatuh ke tangan Barisan Nasional (BN).

Jelas Abd Mutalip, pemimpin yang diundi rakyat telah diberikan amanah besar supaya kebajikan dan masa depan sentiasa terjaga, maka itulah juga sebab mengapa mereka adalah wakil serta suara rakyat.

“Saya janji akan bekerjasama sebaik mungkin tanpa sedikit pun mengira fahaman politik mahupun parti dengan Maszlee.

“Ini adalah masa untuk kita bekerjasama, mungkin ada perkara yang memerlukan kolaborasi antara Parlimen dan ADUN bagi manfaat rakyat. Kita bekerja untuk rakyat, untuk pengundi tidak boleh berkira.

“Pada saya kepentingan rakyat kena letak paling atas lagipun mungkin ada perkara yang beliau boleh buat dan ada yang saya boleh lakukan, akhirnya ini akan memberi kebaikan kepada pengundi kita,” katanya kepada MalaysiaGazette.

ADUN Layang-Layang, Datuk Abd Mutalip Ab Rahim

Beliau yang ditemui di kebunnya di Kg Isnin Maarof di Layang-Layang mengakui dia minat dengan kerja-kerja pertanian seperti tanaman nenas dan pisang.

“Inilah kerja saya selama empat tahun selepas saya tidak bergelar ADUN kerana tidak bertanding pada PRU-14. Saya menghabiskan banyak masa di kebun ini, walaupun ada pekerja namun ianya tidak sama dengan tangan kita sendiri.

“Sambil itu saya juga masih lagi bersama penduduk Layang-Layang jika ada apa-apa isu. Kebajikan mereka juga saya jaga kerana kerja politik dan perjuangan rakyat itu sudah sebati,” ujarnya.

DUN Layang-Layang merupakan DUN di bawah Parlimen Simpang Renggam.

Seramai 15,088 orang daripada 25,147 pengundi berdaftar di DUN Layang-Layang telah menunaikan kewajipan mereka semalam. -MalaysiaGazette