Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud

KOTA KINABALU – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) telah mengenal pasti tapak baharu bagi menggantikan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (CIQS) sempadan Malaysia-Indonesia sedia ada di Pagalungan, Nabawan.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, tapak tersebut yang berada dalam daerah sama akan dibangunkan bagi memudahkan urusan keluar masuk di sempadan negara.

Selain Pagalungan, pintu masuk negara di Sabah juga terletak di Pulau Sebatik, Tawau dan Serudong di Kalabakan.

“Saya ke (CIQS) Pagalungan, kawasan sana agak jauh….saya datang untuk melihat proses imigresen di sana dan dimaklumkan bahawa satu tapak untuk CIQS yang lebih sempurna telah dikenal pasti untuk pembangunan pada masa depan,” katanya kepada pemberita selepas menyertai operasi bersepadu JIM di kawasan setinggan sekitar Kota Kinabalu di sini hari ini.

Khairul Dzaimee berkata, beliau turut melawat pintu masuk di Pos Kawalan Imigresen Merapok-Sindumin dan Mengkalap, Sarawak bagi melihat persediaan sebelum pintu sempadan negara dibuka semula 1 April ini.

Beliau berkata, pembukaan semula sempadan negara itu akan membolehkan penghantaran pulang pendatang asing tanpa izin (PATI) ke negara asal mereka.

Katanya, seramai 850 PATI dari negara jiran terlibat dalam proses tersebut dan ujian saringan COVID-19 mereka akan dibiayai ahli keluarga masing-masing.

Mengenai operasi tersebut yang dijalankan selama hampir empat jam bermula 11 malam tadi, seramai 117 individu ditahan termasuk 71 orang kanak-kanak berumur antara dua hingga 10 tahun.

Khairul Dzaimee berkata, kesemua tahanan warganegara Filipina itu dibawa ke lokap JIM Kota Kinabalu untuk proses dokumentasi.

Katanya, pihaknya mendapati penduduk di kawasan penempatan setinggan di pinggir Sungai Likas di sini mencuri sumber air dan elektrik, selain kawasan itu berbahaya untuk kesihatan awam. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast