Rakaman kamera litar tertutup lelaki bertopeng yang dipercayai menyerang gelandangan di sekitar New York dan Washington. foto NYPD

NEW YORK – Seorang lelaki bertopeng yang memiliki senjata api melakukan serangan ke atas gelandangan di sini dan Washington sebanyak lima kali dalam tempoh sembilan hari.

Dua daripada mereka terbunuh.

Khemah salah seorang mangsa dibakar selepas mangsa ditikam dan ditembak.

Polis berkata, suspek menggunakan modus operandi adalah sama dalam setiap kes dan datuk bandar kedua-dua bandar itu bimbang kerana suspek masih bebas.

Ganjaran kini ditawarkan jika pembunuh itu berjaya ditangkap.

Dalam kejadian berasingan, Jabatan Polis Metropolitan DC berkata, seorang lelaki ditembak pada 3 Mac dan seorang lagi pada 8 Mac – kedua-duanya pada tengah malam.

Mereka cedera tetapi terselamat.

Sehari kemudian, perkhidmatan kecemasan bertindak balas terhadap kebakaran khemah di bandar itu yang mana mereka menemui seorang lelaki di dalamnya mati akibat ditembak dan ditikam.

Di New York, seorang suspek bertopeng pertama kali menembak seorang lelaki yang sedang tidur di jalan di kawasan kejiranan Soho Manhattan pada awal pagi.

Timbalan Ketua Hank Sautner dari Jabatan Polis New York berkata pada sidang akhbar: “Mangsa, yang ditembak di lengan, bangun dan menjerit ‘apa yang kamu lakukan?’ dan suspek melarikan diri.”

Sekitar sejam kemudian, menurut polis, orang yang sama menembak dan membunuh seorang lelaki lain yang juga sedang tidur di Soho.

“Kita kini mempunyai pembunuh yang masih bebas,” kata Datuk Bandar DC Muriel Bowser dan Datuk Bandar New York City Eric Adams dalam satu kenyataan bersama.

Polis di Washington menawarkan ganjaran AS$25,000 (£19,100) untuk maklumat yang membawa kepada penahanan lelaki bersenjata itu dan polis di New York menawarkan ganjaran AS$10,000 (£7,650).

Biro Alkohol, Tembakau, Senjata Api dan Bahan Letupan Persekutuan juga telah menyertai siasatan.

Polis New York sedang menyiasat lanjut kematian seorang lagi gelandangan Manhattan pada malam Ahad.

Puncanya belum dapat dipastikan dan masih belum jelas sama ada kes itu dikaitkan dengan rentetan tembakan yang lain. – BBC (https://www.bbc.com/news/world-us-canada-60739098)