Yeoh Soon Hin.

GEORGE TOWN – “Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah menggandakan elaun bulanan daripada RM100 kepada RM200 untuk enam bulan sahaja dan ia berakhir Disember tahun lalu,” kata Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif negeri, Yeoh Soon Hin.

Beliau berkata demikian mengulas dakwaan sekumpulan badan bukan kerajaan (NGO) dan penarik beca yang mendakwa Kerajaan DAP gagal membayar elaun yang dijanjikan sejak Januari lalu.

Soon Hin berkata, Kerajaan Negeri Pulau Pinang tidak pernah mengabaikan kebajikan penarik beca negeri ini sebaliknya beliau telah memohon kerajaan negeri untuk meneruskan pembayaran tambahan RM100 itu.

“Kami telah membantu pembukaan akaun bank peribadi untuk penarik beca pada tahun 2020 bagi memudahkan pemindahan elaun bulanan RM100.

“Selain itu, banyak bantuan dengan kerjasama NGO digerakkan sejak pandemik termasuk program vaksinasi, pemeriksaan kesihatan percuma, pembaharuan lesen, membaiki serta menaik taraf beca.

“Dakwaan yang dilemparkan tidak berasas dan satu laporan polis telah dibuat berhubung dakwaan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN

Kerajaan DAP didakwa gagal bayar elaun penarik beca

Terdahulu, sekumpulan NGO dan penarik beca berhimpun di bangunan pentadbiran kerajaan di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) bagi menyerahkan memorandum kepada Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berhubung kegagalan pembayaran elauan kepada penarik beca di negeri ini. – MalaysiaGazette