Home Nasional Ketua balai polis di Melaka nafi terima RM21,800

Ketua balai polis di Melaka nafi terima RM21,800

MELAKA – Seorang ketua balai polis di Melaka dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, Kompleks Mahkamah Melaka di sini hari selepas didakwa meminta, menerima rasuah dan suapan bulanan keseluruhan berjumlah RM21,800 daripada pemilik pusat hiburan, dua tahun lalu.

Tertuduh, Abdul Halim Alias, 59, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus semua pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.

Mengikut dua pertuduhan di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, tertuduh sebagai seorang anggota Polis Diraja Malaysia berpangkat Sub Inspektor di Balai Polis Tengkera didakwa meminta wang tunai sebanyak RM8,000 daripada pemilik sebuah pusat hiburan, Hang Kah Joon yang dikatakan telah melanggar pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Tertuduh turut didakwa meminta wang tunai RM 1,000 secara bayaran bulanan daripada individu sama supaya tidak mengambil tindakan terhadap pusat hiburan miliknya.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Restoran The Stage Music Lounge Plt, Kota Syahbandar, Melaka, jam 10 malam 4 Ogos 2020.

Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi.

Tertuduh turut berdepan tiga lagi pertuduhan dibawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 kerana bersetuju dan telah memperoleh sejumlah suapan daripada individu sama antara 4 hingga 11 Ogos 2020.

Kesalahan didakwa dilakukan tertuduh di dua lokasi berbeza iaitu di pusat hiburan terbabit serta di bilik pejabatnya di Balai Polis Tengkera.

Bagi tiga pertuduhan di bawah seksyen itu, tertuduh juga bakal berdepan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM 10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Terdahulu, prosiding yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Irwanshah Abdul Samat mencadangkan jaminan RM 5,000 memandangkan ia melibatkan lima pertuduhan keseluruhan berjumlaj RM21,800.

Beliau turut mencadangkan mahkamah mengenakan syarat tambahan tertuduh perlu menyerahkan passport kepada mahkamah selain melaporkan diri ke pejabat SPRM Melaka setiap bulan.

Tertuduh diwakili peguam Azrul Zulkifli Stork

Elesabet pada penghakimannya kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 beserta syarat-syarat tambahan berkenaan.

Mahkamah menetapkan 20 April depan sebagai tarikh sebutan semula kes. – MalaysiaGazette