Employees Provident Fund EPF withdrawal Najib Razak
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Pengeluaran khas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM10,000 akan memberi kesan kepada aliran dana negara kerana jualan bersih yang lebih tinggi dijangkakan daripada dana institusi tempatan.

CGS CIMB berkata,  potensi jualan bersih yang lebih tinggi daripada dana institusi tempatan adalah disebabkan keperluan KWSP untuk meningkatkan kecairan bagi kemungkinan pengeluaran oleh ahli-ahlinya.

“Dari awal tahun 2022 sehingga 15 Mac, pelabur institusi tempatan merupakan penjual bersih terbesar ekuiti Malaysia dengan aliran jualan bersih sebanyak RM5.6 bilion, berbanding aliran jualan bersih tahun 2021 iaitu RM12.1 bilion,” katanya dalam nota hari ini.

Firma penyelidikan itu berkata, skim pengeluaran khas KWSP itu bagaimanapun akan membantu meningkatkan kuasa perbelanjaan pengguna menjelang perayaan Aidilfitri akan datang pada 2 dan 3 Mei, walaupun harga produk meningkat di tengah-tengah kos komoditi, buruh dan pengangkutan yang lebih tinggi.

“Bakal penerima manfaat ialah sektor pengguna, pelancongan dan penjagaan kesihatan kerana mereka akan mendapat faedah daripada perbelanjaan pengguna domestik yang lebih tinggi menjelang musim perayaan dan pembukaan semula sempadan Malaysia pada 1 April,” tambahnya.

Sementara itu, AmInvestment Bank berkata pengeluaran itu akan memberi kesan positif kepada sektor itu kerana kecairan tambahan dijangka menyusut, merangsang permintaan untuk barangan pengguna dan memberikan sokongan lanjut kepada perbelanjaan pengguna dalam tempoh terdekat.

Bagaimanapun, firma penyelidikan itu berkata impaknya mungkin lebih ringan berbanding pengeluaran sebelum ini dan memandangkan aktiviti ekonomi telah beransur-ansur meningkat, bilangan pencarum yang masih bergelut dari segi ekonomi akibat pandemik dapat dikurangkan manakala yang lain mungkin mengelakkan pengeluaran yang tidak perlu daripada simpanan persaraan mereka.

“Selain itu, selepas beberapa pengeluaran dalam tempoh dua tahun lepas, pencarum mungkin memerlukan sedikit masa untuk menambah semula simpanan mereka. Oleh itu, tidak ramai pencarum yang akan membuat pengeluaran kali ini,” tambahnya.

Pengeluaran khas RM10,000 itu merupakan skim pengeluaran KWSP khas keempat yang telah diluluskan kerajaan untuk membantu rakyat Malaysia yang memerlukan sejak pandemik melanda negara. – MalaysiaGazette