Rafizi Ramli

KUALA LUMPUR – Kemunculan semula Rafizi Ramli ke dalam gelanggang politik tanah air bukan perkara yang perlu digentarkan terutama kepada ahli UMNO di Selangor.

Seorang perwakilan Perhimpunan Agung UMNO 2021 mendakwa keputusan bekas Ahli Parlimen Pandan itu hanya untuk mendapatkan jawatan semata-mata.

Justeru menurut Ketua Puteri UMNO Bahagian Sungai Buloh, Zulikha Abdul Talib, bekas Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu bukan sosok yang perlu digeruni oleh parti.

Zulikha Abdul Talib. Foto HAZROL ZAINAL, 17 MAC 2022.

“Perasaan gentar bagi saya memang tidak ada, sedangkan katak yang melompat pun kita tak rasa goyah apatah lagi individu yang bernama Rafizi kerana bagi saya kalau dia ingin buat come back sekali pun, ia tidak dipandang tinggi.

“Ayat come back itu seolah-olah tidak sesuai, bagi saya Rafizi hanya mengambil peluang untuk manfaat dirinya sahaja bukan untuk parti,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur hari ini.

Turut senada, Setiausaha Pemuda UMNO Bahagian Bangi, Muhamad Fikri Othman berkata, UMNO tidak pernah merasa tergugat dengan mana-mana seteru politiknya.

Muhamad Fikri Azib Othman. Foto HAZROL ZAINAL, 17 MAC 2022.

Jelasnya, kemunculan semula Rafizi itu juga diibaratkan seperti air lalu dan hanya gah di media sosial sahaja.

“Berkenaan Rafizi, saya difahamkan dia akan bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR yang mana sebelum ini dia kalah kepada Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

“Bagi saya di pihak Pemuda, kita tak pernah rasa gentar dengan seteru politik kerana baru-baru ini pun kita sudah menang dalam dua Pilihan Raya Negeri.

“Jadi siapa juga lawan UMNO kita tak pernah kisah kerana kita akan masuk gelanggang secara sihat bukan secara fitnah, tohmahan atau kejian,” ujarnya.

Norhafizah Othman. Foto HAZROL ZAINAL, 17 MAC 2022.

Manakala seorang lagi perwakilan, Norhafizah Othman berkata, keputusan Rafizi kembali menyertai politik bukan satu isu besar serta tidak memberi sebarang kesan terhadap UMNO.

Kelmarin, media melaporkan Rafizi mengambil keputusan untuk kembali menyertai gelanggang politik selepas lebih dua tahun berehat dengan mengesahkan akan bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR dalam pemilihan parti itu akan datang.

Menurutnya, keputusan yang diambil adalah berdasarkan perkembangan terbaharu dan politik progresif pelbagai bangsa sedang berada dalam bahaya jika PKR dan Pakatan Harapan (PH) terus menjadi parti ketiga kerana gagal memikat pengundi atas pagar. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Rafizi sertai politik semula, bertanding Timbalan Presiden PKR

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast