Gambar hiasan

SEHINGGA  jam 10.40 malam, 17 Mac 2022, hujan masih turun di sekitar kawasan Bentong, khususnya kawasan DUN Ketari. Hujan yang mula turun seawal jam 3.00 petang. Kini, air sungai sudah mula naik. Beberapa kawasan telah mula banjir. Di Janda Baik, kawasan Pulau Santap yang musnah sewaktu banjir pada 18 Disember 2022 yang lalu kini sudah mula dinaiki air deras.

Ini menimbulkan keresahan penduduk di kawasan tersebut juga pengusaha-pengusaha chalet. Kerosakan yang dialami di kawasan Janda Baik juga masih belum dibaik pulih. Jika berlaku musibah banjir sekali lagi, saya khuatir Janda Baik akan mengalami kerosakan yang total.

Di bandar Bentong, tempat seperti Kampung Perting, Sungai Marong, Kampung Chegar Medang dan Taman Harmoni kini sudah mula dinaiki air. Hujan yang turun sejak jam 3.00 petang tadi telah menyebabkan air sungai meningkat dan kini berada di paras bahaya.

Sejak dari bencana banjir besar yang berlaku pada 18 Disember 2021 lalu, masih tiada perancangan yang khusus dari pihak kerajaan negeri dan kerajaan pusat bagi menangani masalah ini. Kerajaan negeri mahupun kerajaan pusat dilihat tidak agresif untuk membantu rakyat menyelesaikan masalah ini.

Rakyat masih trauma dengan kejadian banjir pada Disember lalu. Sumbangan kewangan yang disalurkan kepada mangsa banjir bukan penyelesaian kepada masalah ini. Kerajaan negeri dan pusat perlu ada pelan tindakan dan perancangan khas agar kejadian banjir besar tidak berlaku lagi. Namun malangnya, walaupun sudah hampir 3 bulan kejadian banjir besar melanda Bentong berlaku, tiada khabar mengenai pelan tindakan dan perancangan untuk menangani banjir dikemukakan oleh kerajaan negeri mahu pun kerajaan pusat.

Saya sedia maklum dengan keadaan cuaca yang tidak menentu pada ketika ini yang menjadi sebab kepada kejadian banjir ini. Namun ia tidak boleh dijadikan alasan secara berterusan untuk tidak berbuat apa-apa. Sebagai kerajaan, baik di peringkat negeri mahupun pusat, sepatutnya sudah ada paling tidak pelan jangka pendek untuk menyelesaikan masalah banjir ini.

Kesan kerosakkan akibat bencana banjir pada Disember lalu juga masih belum dibaik pulih. Sungai-sungai yang dipenuhi batu-batu dan selut masih belum didalamkan semula. Akibat dari itu, keadaan sungai menjadi cetek dan apabila hujan turun dengan lebat dan tanpa henti, air sungai mula naik dan melimpahi kawasan darat serta membuka aliran baru yang merentasi kediaman penduduk.

Saya sebagai ADUN di kawasan Ketari telah mengutus surat memohon bantuan untuk baik pulih kawasan yang dilanda banjir ke peringkat kerajaan negeri dan pusat, namun saya tidak menerima respon dari mana-mana kementerian, agensi kerajaan dan juga exco kerajaan negeri. Ini amat menyedihkan kerana yang menjadi mangsa adalah rakyat.

Saya menggesa kerajaan pusat dan kerajaan negeri segera mengadakan pelan tindakan dan perancangan bagi menghadapi banjir di kawasan-kawasan yang mudah dinaiki banjir. Jangan dilengahkan lagi. Rakyat akan menjadi mangsa jika berlaku sebarang kelewatan. Kita sudah tentu tidak mahu melihat tragedi banjir besar pada 18 Disember 2021 lalu berulang kembali dan meragut lebih banyak nyawa rakyat yang tidak berdosa.

Young Syefura Othman
Ahli Dewan Undangan Negeri Pahang
Kawasan Ketari

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast