Dr. Ibrahim menerima borang keahlian baru Putra Gua Musang daripada wakil penduduk.

KUALA LUMPUR – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) semalam, menerima borang keahlian daripada 425 ahli baharu di Gua Musang, Kelantan.

Majlis penyerahan borang itu diterima Presiden Putra, Datuk Paduka Dr. Ibrahim Ali dalam program ceramah perdana parti itu sempena silaturahim bersama rakyat Gua Musang.

Menurut Ibrahim, lebih 300 peneroka bawah program Kesedar Agropolitan Rantau Manis Gua Musang dan masyarakat sekitar jajahan itu di Dewan ACER, Sungai Asap.

Katanya, selain beliau, ceramah turut disampaikan Ketua Wira Putra Malaysia, Nasrul Ali Hasan Abdul Latif; Pengerusi Perhubungan Putra Pahang, Rosdi Idris; dan Ketua Putra Bahagian Tumpat, Che Azmi Mohd Ali.

“Program dimulakan dengan ucapan dan taklimat oleh wakil peneroka, saudara Zulkifli. Beliau menjelaskan keadaan semasa apabila segala aset dan tanah mereka mahu diambil semula oleh kerajaan Pas Kelantan,” katanya  hari ini.

Kata beliau, majlis itu diakhirnya dengan penyerahan borang keahlian sebanyak 425 keahlian baru Putra Gua Musang yang terdiri daripada 150 ahli baru dari DUN Galas, 145 ahli dari DUN Paloh dan 130 ahli baru dari DUN Nenggiri. – MalaysiaGazette