GEORGE TOWN – Seorang warga emas dilaporkan hilang sejak empat hari lalu selepas keluar dari rumahnya di Ayer Itam di sini, untuk ke tempat kerjanya.

Anak mangsa, Por Wei Ching, 43, berkata, kehilangan bapanya, Por Poh Cheng, 81, dimaklumkan ibunya pada Jumaat lalu kira-kira pukul 10 malam.

Wei Ching berkata, bapanya yang bekerja sebagai tukang kebun di Taman Freeschool dilaporkan keluar rumah pada jam 7.30 pagi untuk ke tempat kerja.

“Bagaimanapun, selepas lebih 14 jam tidak pulang ke rumah kami sekeluarga telah mencari  bapa saya termasuk menghubungi majikannya namun kami dimaklumkan dia tidak datang kerja pada hari tersebut.

“Kami sudah mencari dia (mangsa) di lokasi kerap dikunjungi, hospital dan lain-lain tempat namun gagal ditemui sebelum membuat laporan berhubung kehilangan di Balai Polis Ayer Itam pada keesokan hari,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Tambah Wei Ching, bapanya kali terakhir dilihat keluar menunggang motosikal jenis Honda EX-5 berwarna hitam dengan nombor pendaftaran PHV7845, selain memakai baju warna kelabu serta seluar hitam.

“Kami mohon bantuan orang ramai untuk menghubungi talian 018 940 4171 sekiranya mempunyai maklumat atau ternampak bapa saya,” ujarnya. – MalaysiaGazette